TERKINI :

Saturday, April 8, 2017

AMANAH : Gubal akta bolehkan parlimen pecat PM, menteri


Faiz Fadzil

Pemuda Amanah mencadangkan penggubalan Akta Kebertanggungjawaban Menteri (Ministerial Responsibility Act) bagi memastikan jemaah Menteri, terutama Perdana Menteri lebih bertanggungjawab kepada Parlimen bertujuan mereformasi institusi parlimen.

Menerusi akta ini, peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan prosedur dan kaedah penjelasan oleh Menteri berkaitan sebarang isu yang dibangkitkan di Parlimen digubal dengan Menteri berkenaan hendaklah meletak jawatan jika didapati melanggar akta tersebut.

Ketika menyarankan perkara ini, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil kesal kerana sidang Dewan Rakyat yang baru berlangsung gagal menyelesaikan isu utama yang mengancam demokrasi dan ekonomi negara iaitu skandal 1MDB apabila perbahasan berkaitan isu tersebut dilarang Speaker Dewan Rakyat.


"Amat malang isu yang sebegitu penting tidak dibenarkan untuk dibahaskan, apatah lagi ia telah dimanfaatkan kerajaan untuk mengelak daripada menjawab kepada Parlimen.

"Skandal 1MDB ini memberikan kesan negatif kepada integriti negara di mana Perdana Menteri sendiri didakwa menyeleweng dana 1MDB untuk kegunaan peribadi dan seharusnya isu ini dijawab oleh beliau di dalam Parlimen," katanya.

Menurut Faiz, parlimen adalah teras sistem demokrasi bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem 'Westminster Constitution' seperti Malaysia.

Menteri termasuk Perdana Menteri, ujarnya perlu mempunyai tanggung jawab kepada Parlimen ke atas segala tindakan sama ada dalam kapasiti menteri atau peribadi.

Seseorang Menteri termasuk Perdana Menteri, tambah beliau perlu hadir ke Parlimen untuk menjawab dan menjelaskan apa-apa isu yang terpalit seperti skandal 1MDB yang melibatkan elemen jenayah dan penyelewengan wang negara.

"Walaupun Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri kepada Parlimen, namun intipati dan semangat Perlembagaan ini tidak diamalkan oleh Parlimen Malaysia.

"Speaker Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas proses demokrasi Parlimen seharusnya menjunjung tinggi kehendak Perlembagaan ini," katanya.

Tambah beliau, Akta Kebertanggungjawaban Menteri berjaya diamalkan dengan baik di Parlimen Britain bagi memastikan kebertanggungjawaban Menteri ke atas salahlaku Jemaah Menteri.

Sebagai contoh, bekas Menteri Tenaga Chris Huhne yang meletak jawatan setelah didapati bersalah menyalahgunakan proses undang-undang dengan meminta bekas isteri beliau didenda atas kesalahan beliau sendiri memandu melebihi had laju, 10 tahun sebelum itu.

Bagaimanapun di Malaysia, beliau kesal kerana salah laku Perdana Menteri dalam skandal 1MDB dilepaskan begitu sahaja.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, beliau khuatir sistem demokrasi berparlimen akan mati kerana tiada lagi fungsi semak imbang yang baik dan sah.

"Institusi Parlimen hendaklah dipelihara sebagai teras amalan sistem demokrasi dan seharusnya diangkat dengan reformasi menyeluruh agar keluhuran Perlembagaan terus subur dan diperkasakan," tegasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...