TERKINI :

Sunday, March 26, 2017

WAYANG DAN DRAMA DARI "PAS"

Berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin Pas, jelas tergambar rasa kecewa mereka kerana gagal menjalin kerjasama dengan Bersatu di mana parti yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir itu terlebih dahulu memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan.

Jangan salah faham, rasa kecewa itu sebenarnya bukanlah kerana Pas benar-benar ingin menjalin ikatan bersama Bersatu dengan matlamat untuk sama-sama menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN. Tidak sama-sekali.

Mereka kecewa kerana tidak dapat memerangkap Bersatu untuk terus melengah-lengahkan masa dalam perundingan yang boleh membuatkan Bersatu jadi terumbang-ambing tanpa sebarang keputusan sama ada menyertai Pakatan Harapan atau bekerjasama dengan parti tersebut.

Jika masa dapat dilengah-lengahkan sehingga tarikh pilihanraya dan Bersatu masih duduk di tengah-tengah antara mahu bekerjasama dengan Pas atau Pakatan Harapan, malah terus berlaku caca-marba dalam pembahagian kerusi sehingga tarikh penamaan calon, yang paling beruntung tentunya ialah Najib, UMNO dan BN.

Maka, dengan berwatak seolah-olah bersama pihak pembangkang tetapi dapat menyebabkan Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, itulah kepuasan yang tiada tolok bandingnya bagi Pas yang dipimpin oleh kepimpinan yang ada sekarang.

Jangan lupa, Pas kini bukan lagi sama seperti Pas yang dipimpin oleh Fadzil Noor atau ketika Nik Aziz Nik Mat masih ada bersama mereka. Semua era itu sudah tinggal kenangan.

Namun, dengan Bersatu memutuskan untuk segera menyertai Pakatan Harapan serta menangguhkan sebarang hubungan dengan Pas sehingga Pas sendiri memutuskan pendiriannya, matilah segala langkah Pas untuk terus bermain wayang atau drama.

Sekarang ini, jika Pas mahu terus membantu UMNO, maka mereka perlu bergabung secara langsung dengan parti pimpinan Najib dan ia sudah tentu suatu keputusan yang akan ditolak oleh pengikut serta penyokong akar umbinya sendiri.

Kalau ingin juga bekerjasama dengan Bersatu atau Pakatan Harapan pula, kali ini Pas yang perlu datang kepada Bersatu atau Pakatan Harapan dan bukan lagi Bersatu atau Pakatan yang mencari Pas.

Ini sudah tentu agak memalukan Pas kerana di dalam Pakatan Harapan sudah ada DAP dan Amanah yang sudah diisytiharkannya sebagai musuh  sehingga ke liang lahad.

Bersendirian menghadapi pilihanraya pula bukan mudah bagi Pas, meskipun mereka selalu begitu sebelum ini. Lagi pun Pas tentu sudah menyelak-nyelak helaian sejarah pencapaian mereka sebelum ini. 

Ketika bersendirian, jangankan nak tawan Kelantan, kemampuan menang di peringkat Parlimen juga tidak pernah melebihi 15 kerusi. Jauh sangat dengan angan-angan nak menang 40 kerusi yang selalu didendang-dendangkan selama ini.

Jadi, apa pilihan Pas sekarang ini?

Di sebalik mengatakan kononnya gagah bersendirian, Pas kini terlibat banyak menyalahkan Bersatu atas kegagalan kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama. Yang paling banyak dipersalahkan ialah Tun Mahathir sendiri.

Kononnya kerana beberapa tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itulah yang banyak menyulitkan rundingan. Tun Mahathir juga dipersalahkan kerana dikatakan mempunyai kuasa veto sedangkan hanya berjawatan Pengerusi dalam Bersatu. Dalam masa yang sama, Muhyiddin Yassin yang menjadi Presiden didakwa terlalu tunduk kepada Tun Mahathir.

Kenapa Pas cuba menyalahkan Tun Mahathir?

Kenapa mereka tidak menyalahkan diri sendiri berikutan sering mengeluarkan pendirian yang berbeza dan tak sekata? 

Kenapa,  sementara ada pemimpinnya  mahu bekerjasama, pemimpin yang lain pula tidak mahu sebarang bentuk kerjasama?

Mengapa Hadi tidak pernah hadir dalam sebarang perbincangan dengan Bersatu, dan jika pun pernah bersetuju untuk hadir pada peringkat awal, tetapi kemudian menukar pendirian di saat-saat akhir dengan hanya mewakilkan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man saja sedangkan Bersatu diwakili oleh Presidennya sendiri iaitu Muhyiddin?

Jenis apakah juga perundingan yang Pas mahu dengan Bersatu jika awal-awal lagi mereka sudah meletakkan syarat mesti memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah jika ingin bekerjasama dengan mereka?

Kenapa, dalam PRU 2013 lalu, Pas boleh menerima DAP dan menganggap kerjasama pelbagai kaum sebagai pelengkap untuk menjadi kerajaan di mana ia sama seperti dalam BN yang turut ada MCA dan MIC, namun kini semuanya jadi berbeza?

Sekarang, setelah segala-galanya berakhir dan Bersatu sudah pun menyertai Pakatan Harapan, kenapa Pas seolah-olah kecewa kerana gagal bekerjasama dengan banyak meletakkan kesalahan kepada Tun Mahathir?

Sekali lagi, Pas hanya cuba menunjukkan kepada pengikutnya di kampung-kampung yang sudah ditanam jiwa permusuhan dengan UMNO sejak sekian lama bahawa mereka memang ingin bekerjasama dengan Bersatu untuk sama-sama menumbangkan Najib, UMNO dan BN, tetapi terhalang disebabkan beberapa keputusan dan tindakan oleh Tun Mahathir.

Jika dulu, wayang dan dramanya dalam bentuk yang lain, setelah Pakatan Harapan kian besar kukuh dan dilihat satu-satunya alternatif bagi rakyat untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN, wayang dan drama mereka pastilah berbeza juga. 

Tapi, wayang tetap wayang dan drama tetap drama. Niat besarnya lebih untuk melihat Najib dan Rosmah terus kekal berada di singgahsana Seri Perdana. 

Kini semua kerja menyerang dan membalun Bersatu dan Tun Mahathir seolah-olah sudah menjadi kerja wajib bagi Pas, berbanding UMNO yang banyak beralih menumpukan kepada usaha-usaha memperkuat jentera untuk memenangi pilihanraya.

Inilah wayang dan drama terbaru Pas. Dalam riuh-rendah berceramah dan menyerang, sasarannya bukanlah Najib, UMNO dan BN.

Cuba kita ingat, bila kali terakhir Hadi, Nik Abduh, Takiyuddin, Nasharuddin Tantawi, Dr. Zuhdi dan lain-lain ada menyerang Najib, UMNO dan BN sepertimana bertihnya mulut mereka sekarang menembak Tun Mahathir, Bersatu, DAP, Amanah dan Pakatan Harapan?

Bermula dengan wayang dan drama dan mungkin kerana ada budi-budi yang telah diterima, maka sampai tamat jugalah dengan wayang dan drama hidupnya Pas ini. (ShahbudinHusin 25/03/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...