TERKINI :

Monday, March 6, 2017

Sultan Kedah berkenan bersama rakyat memeriahkan Majlis Jamuan Rakyat

Sultan Kedah berkenan bersama rakyat

SUNGAI PETANI- Kira-kira 15,000 rakyat dari seluruh daerah  hadir memeriahkan  Majlis Jamuan Rakyat Bersempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-89, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang diadakan di pekarangan Amanjaya Mall, semalam.

Rakyat Kedah yang terdiri pelbagai lapisan masyarakat hadir ke majlis terbabit  mulai jam 10 pagi.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Rakyat 2017, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Jamuan Rakyat yang juga Exco Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan  acara memotong kek keputeraan  yang disempurnakan oleh Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Hajah  Haminah.

Majlis diteruskan dengan  penyampaian cenderahati kenangan kepada Tuanku Abdul Halim oleh Tajul Urus bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Terdahulu, Tajul Urus ketika ditemui media berkata, majlis terbabit merupakan salah satu acara kemuncak daripada 34 acara yang diatur kerajaan negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah yang ke-89.

"Satu penghormatan bagi masyarakat di daerah Kuala Muda apabila Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah sudi mencemar duli berangkat ke majlis ini.

"Ia memberi makna besar kepada rakyat kerana dapat bertemu lebih dekat dengan rakyat, terutama selepas Tuanku  menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 selama lima tahun," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...