TERKINI :

Wednesday, March 29, 2017

Speaker Dun T'ganu tolak usul teliti semula hudud dan qisas tertangguh 15 tahun

MALAYSIA DATELINE


Mohd Zubir Embong

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul bagi menggesa Dun meneliti semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M yang tertangguh hampir 15 tahun.


Syed Azman Syed Ahmad Nawawi

Usul itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 31(2) peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan memberi notis 14 hari.

Kesal dengan penolakan tanpa alasan kukuh itu, Syed Azman berkata, di sebalik penolakan usul itu, surat Mohd Zubir jelas memperakui bahawa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M telah diluluskan oleh Dun Terengganu pada 7 Julai 2002.

Beliau juga turut memperakui bahawa enakmen itu  juga telah diperkenan oleh Sultan Terengganu pada 2 September 2002 dan disiarkan dalam warta pada 25 September 2002 serta telah dicatatkan berkuatkuasa bermula pada 27 Oktober 2003 melalui dokumen TR.P.U.10/2003.

"Malangnya surat penolakan Yang Dipertua Dewan tidak menyatakan secara langsung sebab-sebab kenapa di sebalik kelulusan enakmen yang telah diwartakan ini namun pelaksanaannya tertangguh sejak 15 tahun yang lalu.

"YDP Dewan tidak memberikan sebarang alasan kenapakah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang telah lama diwartakan ini tidak dikuatkuasakan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hudud dan Qisas alat politik?

Syed Azman dari Pas itu khuatir jika enakmen kesalahan jenayah syariah itu hanya menjadi alat politik semata-mata.

"Adakah benar telahan saya bahawa enakmen ini hanya menjadi alat politik semata-mata dan dijaja di segenap penjuru negara apabila pilihan raya menjelang tiba? Lebih malang lagi, enakman ini akan kembali dipetisejukkan dan dilupakan sebaik sahaja pilihan raya berakhir," katanya.

Beliau juga menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab setiap Adun untuk berbahas soal isu yang penting ini dan Dun juga bertanggungjawab meneliti pelbagai aspek untuk menegakkan Maqasid Syariah, iaitu matlamat utama Syariah, dan melindungi agama daripada pengaiban.

"Sepatutnya di dewan yang mulia inilah tempat untuk enakmen ini diteliti dan dibahas kembali dan bukannya dibiarkan perdebatan berlangsung di padang-padang bola atau di pelbagai medan pertemuan sosial lain yang penuh dengan kecelaruan," tegasnya.

Justeru beliau menggesa kerajaan negeri meneliti kembali sama ada enakmen-enakmen jenayah syariah yang telah diluluskan semenjak 15 tahun lalu benar-benar dapat memelihara nilai-nilai utama syariah, seperti keadilan, rahmat, kebijaksanaan dan kebaikan.

"Begitu juga setiap tanggapan negatif terhadap syariat harus ditangani dengan usaha dakwah dan mendidik, memberikan kefahaman menerusi pendekatan berhikmah dan bukannya bersifat ‘menghukum’ semata-mata agar tidak ada lagi yang 'dimunafiqkan', 'diliberalkan' dan 'dikafirkan'," katanya lagi.

Islam bukan menghukum

Sementara itu, Syed Azman berkata, agama Islam tidak berkisar kepada persoalan undang-undang yang bersifat menghukum semata-mata sebaliknya Islam adalah lebih bersifat mendidik daripada menghukum, menegakkan keadilan dari beretorik di mimbar-mimbar perbincangan, memperjuangkan kebebasan serta menghapus salahguna kuasa dan rasuah.

"Lebih buruk lagi jika isu pelaksanaannya juga terdorong kepada kepentingan politik semata-mata dengan menjadikan hudud sebagai taruhan untuk meraih sokongan dan bukan diberi perspektif berpandukan disiplin ilmu yang mahal harganya.

"Sikap mengambil mudah dalam isu perlaksanaan syariat khususnya Hudud dan Qisas tanpa memberi gambaran tujuan syariat atau maqasid syariah yang lebih besar akan memberi ruang kepada tuduh menuduh yang boleh membawa kepada mendukung kelompok Takfiri (mengkafirkan orang lain).

"Malah sarjana besar pada zaman ini seperti Sheikh Mustafa al-Zarqa, Muhammad Abu Zahra dan Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah banyak membahaskan keperluan terhadap ijtihad, keutamaan (fiqh al-awlawiyat) dan keadilan sebagai asas maqasid al-syariah dalam pelaksanaan hukum-hukum Islam ini," jelasnya.

Sehubungan itu beliau memohon Mohd Zubir meneliti semula usul yang telah dikemukakan agar Dun dapat mengadakan sidang khas bagi membahas kembali Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu.

"Kita tidak boleh berselindung dengan meletakkan kegagalan melaksanakan enakman ini kepada pihak lain terutama daripada kalangan bukan Islam.

"Adalah wajar rakyat Terengganu perlu diberikan penjelasan akan kegagalan perlaksanaan enakmen ini sehingga hampir 15 tahun kerana Syariat Islam bukannya bersifat retorik politik tetapi menjadi kewajipan mereka yang berkuasa. Ia adalah suatu yang penuh dengan segala kemuliaan dan kerahmatan," ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...