TERKINI :

Tuesday, March 14, 2017

Senarai calon BN Kedah bocor?

calon PRU

ALOR SETAR - Senarai awal calon BN Kedah bagi PRU14 kini tersebar di laman sosial dan tular sejak kelmarin.

Senarai nama itu memaparkan 15 calon parlimen dan 36 calon bagi kerusi Dun Kedah, namun beberapa kerusi Dun masih dibiarkan kosong dengan meletakkan cadangan akan dipilih Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kerusi Dun yang masih tidak dinamakan calon ialah Lunas, Bayu, Bakar Arang, Bukit Selambau dan Anak Bukit.

Berdasarkan kepada senarai calon itu, berlaku rombakan lebih 50 peratus bagi kerusi parlimen Kedah, di mana lapan muka baharu dipertaruhkan dengan menampilkan calon muda, di Parlimen Langkawi (Nor Saidi Nanyan), Pokok Sena (Kamarol Salleh), Alor Setar (Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa), Kuala Kedah (Dr Heazar Ismail), Sik (Datuk Mohd Tajuddin Abdullah), Merbok (Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin), Sungai Petani (Datuk Shahanim Mohd Yusoff), Kulim/Bandar Baharu (Datuk Norsabrina Mohd Noor).

Manakala muka-muka lama yang dikekalkan adalah kalangan menteri kabinet dan yang memiliki pengaruh di kawasan masing-masing.

Mereka adalah Datuk Othman Aziz  (Jerlun), Datuk Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Othman Abdul (Pendang), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Heng Seai Ke (Padang Serai).

Tiga anggota Exco Kedah yang di canang digugurkan sebagai calon, adalah Adun Sungai Tiang (Datuk Suraya Yaacob), Adun Jitra (Datuk Aminuddin Omar) dan Adun Tanjung Dawai (Datuk Tajul Urus Mat Zain).

Beberapa kawasan dijangka berlaku kejutan, antaranya Pokok Sena apabila nama besar seperti Datuk Ahmad Lebai Sudin digantikan dengan muka baharu, Haris Che Mat bagi Dun Bukit Lada.

Kawasan Sik menyaksikan calon sedia ada bertukar kerusi, antara Datuk Tajuddin Abdullah dengan Dr Mansor Abdul Rahman, bagi Dun Belantek.

Di Pendang, calon muka baharu yang disebut-sebut adalah, Khairul Asri Pubin bagi Sungai Tiang dan Mohamad Noor Azam Ismail (Tokai).

Beberapa kawasan lain turut menyaksikan perubahan dengan menampilkan calon lebih segar, dari kalangan Pemuda dan Puteri.

Perubahan besar ini mungkin antara strategi yang dilihat berkesan untuk pastikan BN terus kekal kuasa di Kedah, dengan 'mencantas' lebih awal calon-calon yang difikirkan bukan calon boleh menang.

Sementara sumber berkata, Umno Kedah belum membincangkan senarai calon PRU14 dan menyifatkan masih terlalu awal untuk dibuat tapisan bagi senarai pendek calon layak.

Katanya, ini adalah cerita ulangan setiap kali menjelangnya pilihan raya umum.

"Ini perkara biasa, setahun sebelum pilihan raya sebenar, pasti heboh adanya senarai calon, sedangkan ia palsu," katanya. (SINAR HARIAN)


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...