TERKINI :

Sunday, March 12, 2017

Saifuddin: Kita tak mahu Malaysia 'Darul Rasuah'



Jangan biar negara ini terjebak dengan gelaran Darul Rasuah - itu permintaan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, ketika mengulas statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Saifuddin berkata, data didedahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, bahawa sebanyak 665 kertas siasatan dibuka membabitkan penjawat awam antara 2016 hingga Februari lalu, perlu dipandang serius.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga 548 penjawat awam ditangkap dan 63 kes dituduh di mahkamah.

"Bagi saya jumlah tersebut satu angka yang sangat besar kerana ia melibatkan penjawat awam yang sepatutnya berintegriti dan menjaga wang rakyat dengan sebaik-baiknya," kata Saifuddin.

Ada beberapa kes rasuah berprofil tinggi didedahkan SPRM sejak beberapa bulan lalu, termasuk penahanan pegawai kanan Jabatan Air Sabah yang didakwa menyelewengkan dana bagi pembinaan infrastruktur di negeri itu.

Satu lagi kes yang menarik perhatian ramai ialah tangkapan membabitkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian dan anaknya.

Dalam serbuah di sebuah rumah di Subang Jaya, pegawai SPRMmerampas wang tunai dan jongkongemas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Hal sangat memalukan

Terbaru, seorang exco di Johor ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan pihak berkuasa atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan status tanah di negeri itu.

Saifuddin menjelaskan, gejala rasuah di kalangan penjawat awam ketika ini semakin membimbangkan, terutamanya apabila ia membabitkan beberapa jabatan kerajaan termasuk jabatan air, Felda dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Katanya, masalah itu harus dibendung segera kerana dikhuatiri kadar tersebut terus meningkat dari hari ke hari.

Rakyat juga, kata Saifuddin, menyaksikan kemerosotan negara dalam indeks persepsi rasuah dikeluarkan Transparency International - Malaysia baru-baru ini.

"Kedudukan negara jatuh dari tangga ke 54 kepada 55 daripada 176 buah negara dan saya percaya ianya berpunca daripada gejala rasuah yang telah didedahkan, selain isu kontroversi 1MDB serta isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri," katanya.

Menurut beliau, peningkatan persepsi rasuah itu juga memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat sekali gus akan menimbulkan kesangsian pada pelabur asing.

Justeru, kata Saifuddin, SPRM diharapkan mampu membanteras rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan serta tidak hanya menangkap 'ikan bilis' tetapi melepaskan 'jerung' tanpa sebarang tindakan.

"Kita tidak mahu negara ini digelar 'Malaysia Darul Rasuah'. Hal ini sangat memalukan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...