TERKINI :

Wednesday, March 29, 2017

PKR Selangor salahkan Hadi, Nik Abduh dan Zuhdi

MALAYSIA DATELINE


PAS PKR Selangor

Majlis Pimpinan PKR Selangor mendakwa pimpinan tertinggi Pas yang mencetuskan krisis antara kedua-dua parti itu.

Setiausahanya Borhan Aman Shah berkata, disebabkan provokasi dan isu-isu yang ditimbulkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pemuda Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan ahli jawatankuasa Dr Zuhdi Marzuki, Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali memberikan respons.

"Disebabkan provokasi dan isu-isu yang ditimbulkan oleh para Pimpinan Paslah maka Datuk Seri Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor telah memberikan respon segera dan agak kritis bagi menyangkal serangan dan tohmahan yang dibangkitkan oleh pimpinan Pas ini sehingga menimbulkan ketegangan dan situasi kurang sihat antara kedua belah pihak," katanya dalam kenyataan.

Borhan juga berkata, terserah kepada Pas sama ada ingin bersama Pakatan Harapan atau tidak tetapi hubungan baik dengan PKR di Selangor harus dipelihara demi menjaga kepentingan parti dan juga mengelakkan kekeliruan di kalangan penyokong parti masing-masing.

"Pendirian kami adalah tegas dan jelas bahawa hubungan baik antara Pas dan PKR khususnya di Selangor ini harus dijaga dan dikekalkan sepertimana sebelum ini," katanya.

Justeru beliau menggesa perang mulut antara Pas dan parti itu dihentikan segera kerana musuh sebenar mereka ialah Umno-BN.

"Musuh sebenar politik PKR ialah Umno-BN dan bukan Pas itu sendiri.  Lebih-lebih lagi Pas di Selangor masih lagi secara rasmi dalam ‘ikatan persefahaman' khususnya antara pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang mana Adun-adun ahli-ahli Majlis, serta Ketua Kampung Pas masih kekal di dalam kerajaan Negeri Selangor ini.

"Kita tidak mahu disebabkan retorik politik dan perbezaan perbezaan idealogi antara kedua pihak akan menjejaskan juga pentadbiran kerajaan negeri dan akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak dan kepentingan rakyat akan terjejas.

"Akhirnya hentikanlah tohmahan dan tuduhan melulu dari pihak Pas khususnya serangan secara peribadi ke atas Datuk Seri Azmin Ali yang mana kami mendapati kebanyakan tuduhan yang dilemparkan serta isu-isu yang dibangkitkan adalah tidak berasas langsung dan hanya tohmahan palsu semata-mata," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa isu kerjasama politik antara kedua-dua parti akan dibawa ke Muktamar Pas yang akan datang bagi dibincang sama ada perlu diputuskan.

Kemelut berkenaan semakin meruncing apabila Nik Abduh mengeluarkan kenyataan bahawa parti berkenaan akan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan itu kemudian disindir oleh Mohamed Azmin di laman sosial miliknya yang memuat naik kenyataan "Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur" yang kemudian menimbulkan pelbagai reaksi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...