TERKINI :

Wednesday, March 8, 2017

Pemandu teksi tolak kerjasama Uber, dakwa milik Yahudi

teksi_law
SUBANG JAYA: Lebih 100 pemandu teksi menunjuk perasaan beberapa minit sebelum Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) menandatangani memorandum persefahaman dengan Uber Malaysia, mendorong penganjur membatalkan mesyuarat yang dijadualkan hari ini.

Mewakili beberapa persatuan dari seluruh negara, penunjuk perasaan berhimpun di perkarangan Kelab Sunway Lagoon iaitu lokasi majlis tandatangan MoU, dan berkata mereka tidak rela bekerjasama dengan “syarikat Yahudi”.

Mereka turut membidas GPST yang didakwa menjual kepentingan pemandu teksi.

“Puluhan tahun GPST menghisap darah pemandu teksi dan kini mereka menggadaikan pula hidup kami kepada syarikat Yahudi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin.

“Tengok siapa yang banyak aniaya kami sekarang dan mahu jual kami macam durian dan ikan kena longgok.”

Semalam, Penasihat Teksi Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail berkata GPST mahu menggunakan aplikasi e-hailing Uber, yang lebih popular di pasaran berbanding aplikasi syarikat teksi biasa, sekaligus mengakhiri perseteruan antara teksi dan syarikat perkongsian kenderaan itu.

GPST menaungi beberapa syarikat teksi utama di negara ini, antaranya New Supercab, Uptownace dan Sunlight Taxi.

Dihubungi FMT tadi, Shamsubahrin berkata beliau diberitahu mesyuarat GPST-Uber terpaksa ditetapkan kemudian dan akan diadakan secara tertutup.

“Sudahlah kami miskin kini disakiti dengan cara begini pula,” kata Zailani. Himpunan ini merupakan yang ke-8 dalam siri tunjuk perasaan terhadap syarikat perkongsian kenderaan, yang dikatakan menarik sebahagian besar pengguna pengangkutan awam daripada teksi.

“Sekarang pendapatan kami kurang dari RM100, bayar perkhidmatan RM50, bayar minyak dan gas RM30 dan tinggal baki RM20,” katanya.

Semalam, Shamsubahrin berkata kerjasama dengan Uber itu akan membolehkan pemandu menggunakan aplikasi e-hailing yang lebih kuat di pasaran dari segi pemasaran, tempatan dan potensi menjana pendapatan.

Selepas 3 jam menunggu Pengerusi GPST Datuk Salahuddin Ayubi Kamal Aazad untuk menemui mereka, penunjuk perasaan akhirnya dapat menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil GPST, Datuk Aslah Abdullah.

Zailani berkata memorandum itu mewakili 61,336 pemegang permit teksi dan kereta sewa seluruh Semenanjung Malaysia. Menurutnya lagi, mereka akan kembali berkumpul di Parlimen dalam masa terdekat bagi mendesak wakil rakyat mendengar suara mereka.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...