TERKINI :

Friday, March 31, 2017

Pas, kerajaan gelojoh bawa usul RUU355

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpendapat Pas dan kerajaan terlalu gelojoh dalam membawa usul RUU355 untuk memastikan ia dapat dibentangkan di Parlimen.

Menurut beliau, kedua-dua pihak sepatutnya mengikut hala tuju (road map) jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan satu ketika dulu.

"Road map ini adalah bagi membolehkan enakmen jenayah di negeri Kelantan dilaksanakan iaitu dengan meminda RUU355 dan jawatankuasa ini juga telah bersetuju RUU355 ini mesti dibawa oleh kerajaan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

"Jadi akibat daripada tindakan mereka yang tak mengikut road map ditetapkan ini, maka ia telah menyebabkan keadaan menjadi celaru," katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan bahawa Dewan Tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda RUU355 di Parlimen.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tidak akan bentang RUU 355]

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, pihaknya yakin bahawa sekiranya RUU355 dibawa secara bijaksana sepertimana ditetapkan oleh jawatankuasa teknikal, anggota BN tidak akan menolak usul tersebut memandangkan ia pernah dipinda serta diterima baik oleh semua pihak pada tahun 1984 dan 1989.

"Tiada sebarang masalah pada waktu itu dan kesilapan pada hari ini adalah kita mengamalkan politik gelojoh dalam membawa RUU355 tanpa menghormati jawatankuasa teknikal,"katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz memaklumkan bahawa pengumuman Najib tersebut adalah amat mengejutkan kerana sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa kerajaan akan membawa RUU355 di Parlimen.

Mahfuz berkata, kenyataan Najib tersebut seolah-olah menunjukkan tiada konsensus antara beliau dengan Ahmad Zahid dalam isu RUU355 ini.

"Dan yang lebih jelas lagi adalah sewajarnya beliau (Najib) mempertahankan kenyataan Ahmad Zahid bagi memujik Dewan Tertinggi BN,"katanya.

Selain itu, Mahfuz berkata pihaknya yakin usul RUU355 tidak akan dapat dibawa di Parlimen walaupun Najib mengatakan bahawa kuasa bagi memberi laluan terhadap usul itu terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat.

Tambah beliau, kuasa Speaker Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada usul RUU355 ini bergantung kepada kebenaran daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.

"Saya fikir Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan bangun untuk beri laluan kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membawa usul ini sekali lagi di Parlimen.

"Kalau menteri memberi laluan, sudah tentu ia bercanggah dengan konsensus BN yang diumumkan oleh Najib,"katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...