TERKINI :

Thursday, March 9, 2017

Pakatan bantah loji tenaga nuklear kerana ‘tidak berbaloi’

 pakatan_loji_nuklear_6
PETALING JAYA: PKR, DAP dan Amanah hari ini mempertikaikan kemampuan menyelia infrastruktur loji nuklear, dengan mengingatkan kerajaan beberapa binaan mega direndung kelemahan.

“Tambahan pula, reputasi kerajaan Umno-BN berdasarkan rekod pembinaan projek-projek mega/besar di negara kurang memuaskan, seumpama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu runtuh pada 2013,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan 3 parti Pakatan Harapan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini berkata laporan Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Misi Fasa 1 oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), mendapati Malaysia sudah bersedia sepenuhnya membangunkan tenaga nuklear.

Nancy berkata Malaysia bakal membuat keputusan sama ada menggunakan tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin bertambah.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan memberi amaran kos dan risiko kemudahan nuklear terlalu besar, tidak berbaloi dan juga ketinggalan zaman.

Menurutnya, bekas menteri tenaga, teknologi hijau dan air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui pernah memberitahu Dewan Rakyat, kos mendapatkan bekalan elektrik dari empangan Bakun di Sarawak lebih rendah daripada sumber loji janakuasa gas dan arang batu, “serta pastinya lebih murah daripada penjana nuklear”.

“Negara luar seperti Jerman juga sudah melupakan cadangan sedemikian selepas tragedi nuklear Fukushima, sebaliknya beralih kepada tenaga kincir angin,” kata kenyataan oleh Fuziah Salleh, Dr Dzulkefly Ahmad dan Charles Santiago.

Mereka turut mengingatkan Malaysia mengenai insiden loji nuklear Fukushima ketika gempa bumi melanda Jepun.

“Sekalipun Malaysia tidak tergolong dalam negara di garis gempa bumi tetapi kajian menunjukkan garisan itu sudah berubah sejak kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah.”

Sebaliknya, Pakatan berkata Malaysia perlu menggiatkan penyelidikan tenaga hijau dan tenaga boleh baharu (TBB), termasuk tenaga solar, tenaga ombak dan teknologi biomass.

“Ini kerana bahan biomass boleh diperolehi dengan mudah dengan jumlah yang banyak, boleh diperbaharui dan mampu menjana tenaga elektrik. Secara tidak langsung, ia juga boleh mengurangkan masalah pelupusan sisa pepejal di Malaysia,” kata kenyataan itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...