TERKINI :

Friday, March 3, 2017

Oops…minta maaf salah usul, kata Azalina

PETALING JAYA: Usul rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat minggu depan dan disiarkan media semalam adalah usul lama, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mengakui ia adalah kesilapan teknikal dan usul itu akan digantikan usul baru yang dipinda Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Parlimen 24 November lalu.

“Saya terima surat dari setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 2 Mac 2017 di mana beliau memohon maaf dan menjelaskan usul Hadi di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1), iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti mana yang terpapar di dalam Tentatif Aturan Urusan Mesyuarat yang bertarikh 7 Mac 2017 yang disiarkan semalam adalah usul lama tanpa pindaan.

“Setiausaha Dewan Rakyat juga menjelaskan ini adalah satu kesilapan teknikal yang tidak disengajakan Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadi pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Hadi dijangka menghuraikan usul itu dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang semula pada 7 Mac ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...