TERKINI :

Thursday, March 2, 2017

Nurul Izzah - Najib memfitnah saya selaku penghasut penduduk Kampung Kerinchi

KENYATAAN MEDIA


Tolong jangan sakiti hati mereka lagi, Najib

TUDUHAN TANPA ASAS

Bagaimana istimewa Lembah Pantai apabila seorang individu yang ditugaskan untuk mentadbir 30 juta rakyat negara dan bertanggungjawab dalam penambahan hutang awam kini menumpukan perhatian penuh kepada warga Lembah Pantai, dengan menyerang saya. Sebenarnya, Najib Razak yang telah mendedahkan negara kepada risiko sabitan di mahkamah beserta denda kerana melanggar undang-undang serata dunia. Namun, mantan Pengerusi Badan Penasihat pelaburan 1MDB, Najib Razak, yang kini terpalit dengan skandal salahguna kuasa punyai sepenuh masa untuk menyerang saya. Saya amat teruja.

Sekiranya menghormati hak rakyat untuk memilih rumah mereka sendiri dianggap sebagai penghasut, maka Najib Razak tidak mengerti tentang nilai demokrasi. Najib memfitnah saya selaku penghasut penduduk Kampung Kerinchi untuk membantah pembangunan semula rumah mereka walaupun saya tidak pernah mencadangkan penyelesaian isu pembangunan ini di mahkamah.

Di sebalik mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat kawasan, saya sebagai seorang ahli parlimen bertanggungjawab mewakili suara rakyat berkepentingan. Kepada melebihi 400 keluarga di Kampung Kerinchi, saya menyediakan nasihat guaman, dialog bersama pihak PKNS, pakar-pakar penilaian untuk berkongsi pendapat objektif mereka, dan membantu keluarga-keluarga ini menilai pilihan mereka. Tuntas, keputusan untuk mengambil tindak mahkamah tidak tertakluk di tangan seorang Ahli Parlimen, tetapi merupakan keputusan penduduk terbabit.

Bukankah UMNO bahagian Lembah Pantai yang menimbulkan projek ‘Residensi Kerinchi’ pada tahun 2007 yang telah mewujudkan kebimbangan penduduk? Komplot antara UMNO dan pemaju telah berlaku pada awal perancangan pembangunan kampung Kerinchi direncanakan.

Pertama, projek Residensi Kerinchi pada awalnya telah dicadangkan kepada pemilik unit oleh Yusri Ahmad yang merupakan Ketua UMNO bahagian Lembah Pantai pada tahun 2007. Malah, penduduk mempersoalkan kemampuan dan kredibiliti pemaju itu sendiri.

PENYALAHGUNAAN UNDANG-UNDANG

​Menjelang Mac 2010, bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang kini merupakan ketua bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik telah gagal mendapat sokongan semua pemilik unit supaya terpaksa menggunakan referendum dan akhirnya mengambil tanah kampung Kerinchi secara paksa dengan menyalahgunakan Akta Pemilikan Tanah 1960. Akta tersebut digubal untuk tujuan pembangunan kepentingan awam seperti sekolah, hospital, jalanraya dan lain-lain tetapi sebaliknya di dalam isu ini undang-undang tersebut digunakan untuk tujuan dan kepentingan komersial.

Sebenarnya, Najib Razak, mempolitikkan pembangunan itu berlaku bila wujud kerjasama ahli politik UMNO membantu pemaju, tanpa memenuhi prosedur dan syarat-syarat yang sah.

Jika Najib hendak mempolitikkan isu perumahan dan pembangunan rakyat sekalipun, jangan sampai mengkesampingkan hak penduduk dan menyakiti mereka lagi dengan sindiran yang tidak mereka perlukan.

Sebagai Ahli Parlimen, sudah menjadi tanggungjawab saya mendengar keluhan rakyat yang mempertahankan hak mereka, sama ada yang bersetuju dengan pembangunan semula dan mereka yang masih memilih untuk tinggal di rumah sedia ada. Kepada Najib Razak, saya sarankan agar beliau menghormati hak penduduk, harapan dan maruah penduduk kampung Kerinchi, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...