TERKINI :

Monday, March 27, 2017

Mukhriz pula cabar Haris tunjukkan bukti RM1bilion


Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mencabar bekas Pegawai Khas Politiknya Haris Che Mat untuk membuktikan bahawa dirinya mempunyai RM1bilion di luar senarai yang telah diisytiharkan sebelum ini dakwaan.

Adun Ayer Itam itu berkata, sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri MITI pada tahun 2009, dan kemudiannya dilantik Menteri Besar pada tahun 2013, beliau telah mengisytiharkan harta dan liabiliti kepada Perdana Menteri.

"Tentunya PM masih ada senarai tersebut.

"Saya mencabar Haris Che Mat untuk membuktikan bahawa saya mempunyai RM1 bilion diluar senarai yang telah saya isytiharkan itu.

"Jika Haris berjaya membuktikannya, saya akan menyumbang RM500 juta untuk pembangunan sekitar Jerlun, dan RM500 juta lagi untuk Pokok Sena.

"Jika Haris gagal membuktikannya, Haris pula yang perlu menyumbang jumlah yang sama kepada pembangunan di Jerlun dan Pokok Sena," ujarnya dalam satu kenyataannya petang ini.

Pada 23 Mac lalu Haris telah mencabar Mukhriz untuk berdebat megenai kekayaan yang dimilikinya sehingga beliau dikatakan boleh bergelar 'bilionaire' dengan aset berbilion ringgit.

Mukhriz yang disifatkannya sebagai 'sangat kaya' mendedahkan faktor kekayaannya berikutan selama ini pembangkang hanya mempertikaikan kemewahan dimiliki pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.


Haris Che Mat

Haris yang juga Naib Ketua Bahagian Umno Pokok Sena berkata, beliau mahu sesi debat itu diadakan sebelum bulan Ramadan atau hujung Mei dan dianjurkan di dalam Parlimen Jerlun.

Mukhriz dalam menjawab reaksi spontannya hari sama  mengenai dakwaan ke atas dirinya seorang ' billionaire' telah  menetapkan tarikh perdebatan paling cepat ialah pada 29 Mac ini.

Dalam kenyataan hari ini, Mukhriz juga mencabar Haris untuk menerangkan kepada rakyat bagaimana Riza Aziz, anak tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan anak kandung Datin Seri  Rosmah Mansor mendapat kekayaannya untuk pembikinan filem 'Wolf of Wall Street' yang memakan belanja US$100 juta dan membayar hutang judi US$13 juta di pusat perjudian Las Vegas.

"Semoga Haris segera sihat daripada sakit misteri yang muncul secara tiba-tiba kebelakangan ini. Bila hendak jawab soalan yang saya kemukakan sebelum ini?" soalnya kembali.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...