TERKINI :

Tuesday, March 14, 2017

Melayu perlu perintah kerana kita majoriti, kata Hadi


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya Malaysia perlu diperintah orang Melayu kerana mereka membentuk majoriti di negara ini, lapor Sinar Harian semalam.

Beliau berkata budaya politik di Malaysia sewajarnya didominasi dan dikuasai orang Melayu supaya dapat memimpin negara ini.

“Mengikut politik Islam, kaum yang berpengaruh akan menguasai sesebuah negara dan oleh kerana orang Melayu merupakan majoriti di negara ini maka mereka perlu menjadi pemimpin,” katanya mengikut laporan itu.

Merujuk kepada statistik 65% penduduk di negara ini adalah orang Islam, beliau berkata: “Orang bukan Islam jangan pula terasa hati kerana kita harus mengikut pecahan penduduk demi memelihara keharmonian negara.”

“Mereka juga tidak perlu bimbang kerana politik Islam melarang pemimpin untuk bersikap zalim kepada orang bukan Islam,” tambahnya.

Hadi dilaporkan berkata demikian pada dialog politik di satu majlis makan malam di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa, pada Sabtu.

Beliau juga berkata sudah sampai masanya masyarakat Islam mengamalkan budaya politik bersaudara kerana sudah lama mengamalkan budaya politik benci-membenci dan bermusuhan, katanya.

Laporan itu juga memetik Hadi sebagai berkata tidak seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, cadangan pindaan syariah di Parlimen bukannya hudud atau pun qisas.

Hadi, melalui rang undang-undang peribadi yang dibentangkan tahun lepas, mahu mencadangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih keras ke atas pesalah syariah.

Hukuman yang dicadangkan termasuk menaikkan hukuman maksimum seperti penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...