TERKINI :

Thursday, March 30, 2017

Kerajaan Tidak Akan Bentang RUU 355, Kata Najib


KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ini susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam ini yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

"BN membincangkan banyak perkara (pada mesyuarat ini) antaranya mengenai RUU 355, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan kepada konsensus.

"Justeru RUU ini akan terus menjadi RUU persendirian dan terserah kepada Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia) untuk menentukan mengikut kepada Order Paper (aturan urusan mesyuarat)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini malam ini.

Katanya kerajaan menyerahkan kepada Pandikar Amin untuk menentukan kedudukan RUU itu, sama ada akan dibentangkan atau tidak, berdasarkan kepada peraturan dewan.

"Macam mana pun kita tidak akan bentangkan dan kita tidak akan menentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu bermakna BN tidak akan menyokong RUU itu, Najib berkata ia bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Anggota Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

-- BERNAMA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...