TERKINI :

Thursday, March 2, 2017

Kerajaan DAP P.Pinang HARAMKAN MESIN JUDI seluruh negeri mulai 2018

Hanya haramkan mesin judi, bukan mesin permainan

 Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikan Pulau Pinang akan mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit pada 2018.

Guan Eng berkata, kenyataannya sebelum ini hanya merujuk kepada mesin simulator yang disalahgunakan untuk perjudian wang.

Menurutnya, lesen mesin simulator yang bentuk hadiah (anak patung dan sebagainya yang bukan wang) dibenarkan di kompleks membeli-belah, pasaraya dan hotel.

"Saya tidak pernah menyebut bahawa kerajaan negeri akan mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit sebaliknya hanya mesin simulator atau lebih dikenali sebagai mesin judi.

"Mengapa memanipulasikan kenyataan saya? Tindakan beberapa media menulis kononnya kita turut akan mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit sama sekali tidak benar," katanya kepada media, hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas berhubung beberapa media melaporkan selain mesin simulator, kerajaan negeri turut mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit pada 2018 nanti.

Sambil menyatakan kekesalannya, Guan Eng berkata, tindakan beberapa media itu dilihat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

"Saya amat kesal kerana mereka melaporkan kenyataan yang salah. Tindakan itu dilihat melanggari etika kewartawanan kerana tidak melaporkan berita yang betul.

"Jika nak jatuhkan saya, bukan cara seperti ini. Tulis lah berdasarkan fakta, bukan dengan cara memfitnah seperti ini," katanya.

Terdahulu, melalui kenyataannya, Guan Eng menegaskan kerajaan negeri tidak akan membenarkan lesen mesin simulator diperbaharui untuk rumah kedai di Pulau Pinang bermula 2018.

Arahan itu dibuat selepas mendapat aduan rakyat di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam berhubung mesin simulator disalahguna untuk perjudian wang dan menyebabkan gangguan berikutan operasinya bermula dari larut malam sehingga awal pagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...