TERKINI :

Saturday, March 4, 2017

Guan Eng - Kesal pejabat AG lambat bertindak kes fitnah anak yang sudah berlarutan 6 tahun

Kesal pejabat AG lambat bertindak kes fitnah anak

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyatakan kekecewaannya terhadap Pejabat Peguam Negara yang dilihat sengaja melengah-lengahkan penyiasatan kes anaknya yang didakwa mencabul seorang pelajar perempuan.

Sambil mempertikaikan kewibawaan Pejabat Peguam Negara, Guan Eng berkata, walaupun laporan polis telah dibuat enam tahun lalu, sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas pihak yang memfitnah anaknya itu.

Menurutnya, lebih mengecewakan, Pejabat Peguam Negara turut menyoalnya sama ada mahu meneruskan kes itu dengan merujuk ke mahkamah atau sebaliknya.

"Kes fitnah anak saya ini berlaku enam tahun lalu dan saya sudah buat laporan polis. Namun hari ini, dua pegawai polis yang membawa arahan dari Pejabat Peguam Negara datang bertanyakan beberapa soalan kepada saya. Mereka tanya adakah saya sudah membuat laporan polis berhubung kes anak saya. Adakah soalan ini patut ditanya setelah enam tahun?

"Tentu saya sudah buat (laporan polis) kerana ini satu fitnah jahat dan tidak pernah berlaku, malah saya dapati ia masih disiarkan dalam blog-blog. Apa yang menghairankan, kes ini sudah lama, laporan polis pun sudah ada, tetapi kenapa tiada tindakan?" katanya kepada media semalam.

Terdahulu, Guan Eng ditemani Pegawai Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib dilihat sedang dirakamkan keterangan oleh dua pegawai polis berhubung kes berkenaan di pejabatnya pagi semalam.

Proses mengambil keterangan itu mengambil masa kira-kira 20 minit.

Guan Eng juga berharap agar kes fitnah anaknya itu diambil tindakan segera dan meminta Pejabat Peguam Negara bersikap profesional.

"Termasuk tadi, sudah tiga kali mereka merakamkan kenyataan saya. Tetapi kes belum juga diambil tindakan. Saya tidak menyalahkan polis, kerana mereka hanya menjalankan arahan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara bagi melengkapkan siasatan. Tetapi kenapa begitu lama? Jika melibatkan pemimpin BN, Umno atau Perdana Menteri di media sosial, tindakan cepat akan diambil.

"Tetapi, mengapa Pejabat Peguam Negara bersikap sambil lewa ke atas kes anak saya? Mereka tidak profesional, jika nak buat kerja, buat betul-betul. Ini melibatkan maruah anak dan keluarga saya. Anak saya tidak mahu ke sekolah selepas tersebarnya fitnah ini. Saya juga bimbang dia akan melakukan perkara tidak elok kerana tertekan. Oleh itu, saya akan teruskan kes ini dan bersedia ke mahkamah sebagai saksi," katanya.

Guan Eng turut meminta agar tidak melibatkan keluarganya sekiranya mahu menjatuhkan karier politiknya.

"Jika mahu jatuhkan saya, silakan tetapi jangan serang anak saya yang tidak tahu apa-apa. Ini satu lagi taktik kotor penyokong BN dan Umno, mereka bertindak kejam dengan menabur fitnah kepada mereka yang tidak berdosa," katanya.

Ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebarkan fitnah terbabit, Guan Eng berkata, penulis berkenaan kini diisytihar bankrap.

"Kita tidak boleh saman orang yang sudah diisytihar bankrap. Namun, mungkin boleh menuduhnya di mahkamah kerana melakukan jenayah memfitnah," katanya.

Enam tahun lalu, tersebar dakwaan di beberapa blog kononnya anak lelaki Guan Eng mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan akibat daripada itu, dia terpaksa dipindahkan sekolah.

Blog berkenaan turut memuat naik sekeping gambar dikenali sebagai Anya Ann Corke berusia 21 tahun iaitu pemain catur terkemuka Hong Kong dan mengaitkannya sebagai mangsa.

Turut dimuatkan dalam blog terbabit, sembilan laporan yang mendakwa anak Guan Eng mencabul seorang pelajar perempuan dan beliau dikatakan membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...