TERKINI :

Thursday, March 2, 2017

Exco Jawab Status Std. Darulaman - ‘Tak roboh sekarang’

‘Tak roboh sekarang’

ALOR SETAR - Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), yang mencadangkan Stadium Darul Aman diruntuhkan hanyalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang pihak MBAS untuk membangunkan kawasan stadium terbabit.

Exco Belia dan Sukan, Datuk Aminuddin Omar berkata, beliau percaya stadium berkenaan tidak akan dirobohkan dalam masa terdekat kerana draf itu merujuk kepada rancangan jangka panjang MBAS.

“Apa sahaja keputusan sama ada dirobohkan atau tidak, projek berkenaan perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Saya tidak kata ia akan dirobohkan, cuma sebagai rancangan masa hadapan mungkin ia akan dirobohkan apabila tiba masanya nanti, mungkin 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun akan datang,” katanya, pada media semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, cadangan meruntuhkan stadium berkenaan timbul apabila MBAS mendapati tempat itu terlampau sesak terutama ketika perlawanan bola sepak berlangsung.

“Selain itu, ia turut memberi kesan kepada aliran lalu lintas di jalan utama sekitar stadium dan juga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk apabila terdapat penyokong memarkir kereta sesuka hati di hadapan rumah.

“Saya juga tidak pasti sekiranya stadium itu akan dirobohkan dan diganti, adakah lokasi stadium baharu nanti akan dibina di Stargate atau di lokasi lain.

“Ini kerana saya juga belum mendapat taklimat sepenuhnya daripada pihak MBAS , dan hanya mendapat maklumat berdasarkan draf perancangan yang mereka keluarkan sahaja,”katanya.

Sebelum ini, akhbar Sinar Harian melaporkan, pemimpin pembangkang mendedahkan hasrat kerajaan negeri yang mahu merobohkan Stadium Darul Aman dan digantikan sebuah stadium baharu di Stargate, berbanding menaik taraf stadium sedia ada, di mana ia lebih menjimatkan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...