TERKINI :

Tuesday, March 7, 2017

BR1M: 'Jangan kita dilayan seperti monyet menunggu pisang'

 | ARIF ATAN

Syafiq AzmiSyafiq Azmi

Rakyat patut menuntut kerajaan memastikan urus tadbir yang baik bukannya terlalu bergantung pada agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan mulai 18 Februari lepas.

Ketua Pemuda Amanah Melaka, Muhammad Syafiq Azmi berkata, bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah itu sebenarnya tidak diperlukan jika pelbagai aspek kesejahteraan rakyat tercapai.

"Pada hemat saya, rakyat haruslah berani melakukan perubahan. Benar BR1M itu hak kita, tapi janganlah pula kita ini sampai dilayan seperti monyet yang menunggu pisang.

"Yang patut kita harap daripada kerajaan adalah kos sara hidup yang tidak menekan, pemborosan dan ketirisan melibatkan dana awam. BR1M itu tidak perlu bila segalanya benar-benar mensejahterakan rakyat," ujarnya.

Mengulas rungutan orang ramai yang tidak diluluskan permohonan BR1M mereka lantaran berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau menganggap reaksi tersebut bukti rakyat semakin terbeban sehingga memaksa mereka berniaga kecil-kecilan.

Beliau turut menyifatkan tujuan Umno-BN menjadikan rakyat terlalu bergantung dengan kerajaan melalui pemberian BR1M sejak 2012 itu mula terlaksana.

"Persoalannya, apakah BR1M kini mula jadi satu bentuk 'dadah' baru kepada masyarakat? Jika ya, maka ini membuktikan maqasid pelaksanaannya mula membuahkan hasil bagi pihak kerajaan Barisan Nasional," tegasnya.

Syafiq dipetik daripada catatannya di Facebook hari ini juga menceritakan pengalaman permohonan isterinya untuk BR1M ditolak tahun lalu kerana terkait dengan SSM.

"Bila ditanya kepada pegawai yang bertanggungjawab, jawapannya isteri saya telah mendaftat SSM yang memerlukan prosedur yang agak leceh jika tetap mahu mendapatkannya. Maka, kami hanya membiarkan semua itu berlalu.

"Atas sebab itu juga bila saya mengetahui SSM itu akan jadi halangan kepada BR1M maka saya daftar sebuah lagi syarikat.

"Bukanlah untuk mencabar tetapi mahu membuktikan saya sudah menerima sepenuhnya yang lebih penting bukan sekadar RM1,200, tetapi negara ini perlu dibetulkan semula untuk generasi hari ini dan akan datang," ujar Syafiq lagi.

Perlu pengesahan

Sementara itu, terdapat pemohon BR1M 2016 berkongsikan semakan terhadap status bantuan tersebut berserta alasan penolakan permohonan mereka.

"Maklumat pendapatan pemohon/pasangan/tanggungan perlu pengesahan (SSM)," dipetik daripada paparan tertera yang tular di media sosial.

Difahamkan rata-rata pengusaha perniagaan secara dalam talian (online) yang mendaftar dengan SSM tidak diluluskan permohonan mereka untuk menerima BR1M.

Tahun lalu, kerajaan menegaskan peniaga online wajib mendaftarkan perniagaan masing-masing dengan SSM bagi mengelak berdepan tindakan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Hasilnya, kira-kira 18,000 peniaga dalam talian telah berdaftar dengan SSM setakat Julai 2016 berbanding hanya 6,000 golongan peniaga itu berbuat demikian iaitu peningkatan 300 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lebih RM19 bilion diagih setakat tahun lalu sejak BR1M diperkenal pada 2012Lebih RM19 bilion diagih setakat tahun lalu sejak BR1M diperkenal pada 2012

Setakat tahun lalu, kerajaan telah mengeluarkan sebanyak RM19.4 bilion sejak lima tahun pelaksanaan BR1M dengan jumlah bantuan ditambah dan kriteria penerima diperluas dari semasa ke semasa.

Sejumlah RM2.1 bilion diagihkan kepada 4.2 juta orang penerima BR1M pada 2012, RM2.9 bilion kepada 6.8 juta penerima (2013), RM3.7 bilion kepada 7.0 juta penerima (2014), RM5.3 bilion kepada 7.4 juta penerima (2015) dan RM5.4 bilion kepada 7.3 juta penerima.

Walau bagaimanapun, banyak pihak melihat pemberian BR1M tidak lebih langkah kerajaan Umno-BN mengaburi mata rakyat kerana masih gagal menangani kenaikan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

Bebanan tersebut ditambah dengan kesan rantaian penghapusan subsidi bahan api serta barangan keperluan asas selain penguatkuasaan rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...