TERKINI :

Thursday, March 2, 2017

Barisan Nasional (BN) menganggap Manifesto Pas Terengganu hanya sebagai gimik politik



JERTIH - Barisan Nasional (BN) menganggap Manifesto Pas Terengganu hanya sebagai gimik politik semata-mata untuk mempengaruhi rakyat agar menyokong parti tersebut.

Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, hakikat sebenarnya lima manifesto yang kononnya ditawarkan itu telah dilaksanakan BN Terengganu sejak dulu hingga sekarang,

Menurutnya, kerajaan BN Terengganu juga melaksanakan pengagihan tanah dan rumah seperti Rumah Mampu Milik (RMM) mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan serta kelulusan Pejabat Tanah dan Daerah.

“Pas menawarkan untuk membuka permohonan tanah dan memberi geran secara kekal sedangkan kita sejak dahulu lagi tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan mengagihkan pemberian tanah dan perumahan kepada mereka yang mempunyai kelayakan,” katanya ketika mengulas mengenai lima manifesto Pas Terengganu yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan negeri ditemui selepas bertemu calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 yang menerima keputusan peperiksaan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering, di sini, kelmarin.

Muhammad Pehimi berkata, kerajaan BN Terengganu telah buat segalanya bukan sekadar rawatan percuma tetapi turut membiayai rawatan pesakit kronik melalui Tabung Darul Iman, perkahwinan pertama percuma termasuk kerajaan pusat menyediakan bantuan untuk belia mengambil lesen motosikal.

Menurutnya, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan manifesto awal yang diumumkan itu meniru apa yang BN telah lakukan dan jelas Pas Terengganu sudah tidak mempunyai idea untuk terus menabur janji manis menjelang PRU 14 nanti.

“Kalau rakyat masih ingat semasa Pas mentadbir Terengganu 1999-2004, banyak kejadian menimpa rakyat terutama kalangan penyokong PAS berbalah sesama sendiri akibat manifesto lalu yang turut dijanjikan pemberian tanah dan rumah kepada rakyat,” katanya.

Muhammad Pehimi berkata, BN Terengganu tidak gentar ‘serangan’ Pas termasuk manifesto yang dicetuskan kerana mereka sekarang dalam keadaan terdesak dan terpaksa buat sesuatu ekoran perpecahan dalam kalangan mereka.

“Rakyat boleh menilai manifesto Pas itu sama ada realistik dan Islamik atau tidak, sampai berjanji setiap rakyat dapat tapak rumah, macam sukar dilaksanakan sebab kerajaan Pas di Kelantan sendiri pun tidak mampu buat begitu. Takkan orang kaya dan sudah ada tanah banyak akan diberi tapak rumah lagi.

“Manifesto yang menjurus kepada Islamik langsung kita tidak nampak termasuk melaksanakan RUU355,” katanya.

Menurut beliau lagi, BN Terengganu telah menyusun jentera parti untuk menghadapi PRU 14 namun belum mengeluarkan manifesto kerana mengganggapnya masih terlalu awal.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...