TERKINI :

Monday, March 13, 2017

'Ambo Saye Kelate', Najib tekad rampas Kelantan

Najib kerap turun Kelantan ketika BN sasar menang di 30 kerusi Dun pada PRU14.
Kunjungan Perdana Menteri, Najib Razak ke Kelantan semalam dengan mengumumkan pelbagai projek bernilai lebih RM440 juta sekaligus menggambarkan Presiden Umno itu tekad mahu merampas negeri tersebut daripada Pas.

"Banyak perancangan besar telah dan akan rencanakan untuk Bachok, untuk negeri Kelantan, dan untuk Malaysia.

Orang Bachok jangan lupa janji kita, undilah Umno dan BN bila tiba masanya nanti," gesanya semalam.

Dipetik daripada blog rasminya, najibrazak.com, beliau memberitahu tindakannya menambah peruntukan kepada Kelantan didorong rasa sayangnya pada rakyat di negeri pantai timur itu.

"Ambo saye Kelate. Saya tak kurangkan peruntukan, bahkan saya tambah, RM 12.11 bilion berbanding RM 3 bilion lebih untuk Kelantan dahulu.

"Sebab ambo saye Kelate, kita bina hospital baharu di Bachok bernilai RM 140 juta, kita bawa ECRL (Landasan Kereta Api Pantai Timur) yang akan lalu di sini dan banyak lagi," ujarnya dalam artikel bertajuk, 'Ambo Saye Kelate'.

Sekali lagi pada tulisan, 'Pembangunan Negeri Kelantan', yang juga disiarkan semalam, Najib mengulangi punca beliau kerap melawat negeri itu dan menyalurkan banyak projek.

"Ada yang bertanya kenapa saya sebagai (?) sering ke Kelantan, beri begitu banyak projek, misalnya hari ini saya merasmikan sebuah hospital baharu di Bachok, bernilai RM140 juta.

"Saya juga umum bina Hospital Kuala Krai bernilai RM300 juta lebih. Saya sayangkan rakyat Kelantan, dan kerana Allah SWT telah perintahkan bahawa kalau jadi pemimpin, kita wajib bersikap adil," katanya lagi.

Kedua-dua artikel tersebut turut dikongsikan dalam laman rasmi Facebook Najib Razak.

Beliau berkata, tiga keluarga miskin yang diziarahinya bakal menerima rumah baharu yang lebih selesa sebagai sebahagian daripada kempen Jom Bantu Rakyat yang dilancarkan.

Najib turut menegaskan Kelantan tidak terkecuali daripada perubahan besar yang mahu dibawanya kepada negara ini.

"Sebab itulah, kita umumkan pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dari Gombak di Kuala Lumpur hingga ke Wakaf Baru di Tumpat, dan salah satu stesen kereta apinya di Jelawat, Bachok, tidak jauh dari tapak hospital baharu.

"Bila siap ECRL ini, tempoh perjalanan cuma 4 jam, dan akan bawa banyak kesan sampingan, 'multiplier effect' (kesan berganda) kepada kehidupan rakyat di sini, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Insya-Allah," jelasnya lagi.

Notis Penelitian Awam yang dikeluarkan pemilik aset dan pengendali ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) baru-baru ini memaklumkan projek sepanjang kira-kira 600 kilometer itu turut menjadikan Tok Bali sebagai salah satu daripada lebih 20 stesen merangkumi Terengganu, Pahang dan utara Selangor.

MRL mewakili kerajaan Malaysia dalam perjanjian menganugerahkan kontrak pembinaan ECRL berjumlah RM46 bilion kepada syarikat dari negara China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Sementara itu, Najib juga bersama anak muda termasuk pelajar sekolah dalam sesi mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa petang semalam.

Beliau dilapor kelihatan begitu gembira dan turut bertepuk tangan bersama hadirin mendengar alunan kumpulan dikir barat ‘Sri Kayangan UMK’.

Ketika ini, BN Kelantan mempunyai 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), Pas (31) manakala PKR dan Bebas masing-masing satu kerusi iaitu di Dun Guchil dan Salor.

Akhir tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor berkata, pihaknya melihat ada peluang untuk memenangi 30 kerusi Dun di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...