TERKINI :

Thursday, March 2, 2017

AHMAD LUTFI - MOMENTUM KEDUA PERPECAHAN BESAR PAS

oleh Ahmad Lutfi Othman
Mantan Pengarang Kanan Harakah

Sejurus selepas program pemukiman Pas Pusat di sebuah hotel di Kuala Selangor, hampir tiga tahun lalu, saya berkunjung ke kediaman seorang pimpinan tertingginya, yang juga seorang ulama terkenal. Kami bersembang santai, terutama tentang kesihatan. Menyentuh soal polemik dalaman parti yang kecoh ketika itu, tokoh berkenaan membayangkan kemungkinan Pas mencari sekutu yang baru, meninggalkan Pakatan Rakyat.

Saya bertanya, mungkinkan Pas kembali bertanding solo? Jawabnya, *kalau Pas berseorangan, yang pasti semua kerusi di Johor dan Selangor akan kalah.* Maknanya, beliau menyedari keperluan membentuk pakatan yang baru. *Saya tidak rasa yang dirujuknya adalah Blok Ketiga, iaitu persefahaman bersama parti kecil, Ikatan, yang membentuk Gagasan Sejahtera, yang belum pun wujud ketika itu.*

Ditanya lanjut, apakah pakatan baru dengan Umno. Jawabnya sambil tersenyum, tidak semestinya.

*Semakin dekat, akrab*

Himpunan Ungu RUU355, 18 Februari lalu -- selepas himpunan solidari Rohingya dan kapal misi kemanusiaan food flotila -- juga menyaksikan Pas semakin dekat dengan Umno-Najib. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom (yang sedang menghadapi tindakan undang-undang oleh Yayasan Pembangunan Anak yatim/miskin atas dakwaan salah laku), bukan saja hadir berpidato, tetapi sempat menitipkan salam dari Najib Razak. Saya tertarik bila Jamil mengatakan dia bergegas ke Padang Merbok daripada program yang turut dihadiri Najib dan Zahid Hamidi, di Janda Baik. Program Institut Latihan Memperkasa Umno (Ilmu).

Dr Hassan Ali, yang menyokong penuh idea kerajaan perpaduan Umno-Pas -- dan pernah menyifatkan Tuan Guru Nik Aziz sebagai penghalang utama usaha itu -- juga diundang sebagai pemidato utama. Di majlis itu, DAP digambarkan sebagai hantu yang menakutkan. Ya, memang mudah menjentik sentimen dan emosi bila disentuh hal agama dan kaum, walaupun dari perspektif yang mengelirukan.

Bagi saya, program yang tidak mendapat sebarang gangguan daripada penguasa, sebagaimana lazimnya terjadi kepada himpunan amanan anjuran pembangkang lain, memang mendapat sambutan yang agak luarbiasa. Dan bukanlah pelik Pas dapat menghimpunkan puluhan ribu hadirin dalam majlis-majlis ceramahnya, sejak dahulu lagi.

Seperti kata Mohamad Sabu, Presiden Amanah, pada pertengahan 1980-an dulu, dalam satu program ceramah di Kedah, begitu ramai yang hadir hinggakan orang yang terakhir dapat keluar dari kawasan majlis itu, disebabkan kenderaan berpusu-pusu sesak, adalah menjelang azan Subuh. Tetapi bila diumumkan keputusan PRU1986, Pas hanya menang satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun Kedah.

Rakan saya, Lim Hong Siang, kolumnis mingguan Amanah mencatatkan pengamatannya mengenai himpunan RUU355: "Hakikatnya, sungguhpun Pas mengalami retakan dalaman, robek hubungannya dengan parti pembangkang yang lain sejak dua tahun kebelakangan, ia tetap memiliki kemampuan untuk mengerah penyokongnya. ... jangan sesekali kita memperlekehkan kemampuan Pas dalam soal mobilisasi."

Bukankah himpunan itu dianggap pemimpin tertingginya sebagai menentukan maruah Pas? Maka, tidak hairanlah apabila pemerhati politik melihat Pas merasakan ia bertambah kuat dan semakin "jual mahal" dalam rundingannya dengan parti pembangkang.

"Bagus juga kesan himpunan RUU355 kepada psikologi pemimpin Pas. Sebahagian mereka tambah yakin dengan kekuatan sendiri, tak perlu sokongan parti lain," kata bekas pemimpin Pas yang tersingkir, dengan nada sinis. "Mungkin hubungan dengan PKR pun mereka boleh putuskan sebab terlalu obses dengan kejayaan himpunan unggu itu."

Lebih menarik lagi, ulasan Nik Abduh, sehari selepas RUU355: "... Itu baru Umno sokong usul Pas. Bagaimana selepas ini jika orang Umno dan pemimpinnya mula menerima dan rela jika Pas menang lebih baik dan lebih besar sehingga 40 kerusi Parlimen atau lebih?"

Waduh, baiknya hati Umno untuk memberi laluan mudah 40 kerusi Parlimen kepada Pas! Saya terkedu. Sudah tidak tahu bagaimana mahu mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas yang sering mengeluarkan kenyataan bagi mendekatkan Umno-Pas itu.

Menyerahkan 40 kerusi kepada Pas, bermakna Umno sedia dan reda kalah separuh daripada kerusinya yang ada. Ini belum dikira jumlah kerusi Umno yang bakal tewas kepada Bersatu dan Amanah lagi.

*Menyatukan ummah*

Saya lebih tidak dapat memahami apa maksud sebenar ucapan Nik Abduh semasa Seminar Pemikiran Haron Din, 25 Februari lalu.

Laporan laman Antarapos.com dipetik: Matlamat Pas sejak dahulu mahu menumbangkan Umno bagi menukar pucuk pemerintahan negara, namun setelah Almarhum Datuk Dr Haron Din menjadi mursyidul am parti itu, Pas berfungsi sebagai parti yang menyatukan ummah.

Demikian kata ketua pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dalam syarahannya pada seminar itu. "Biarpun orang awam lihat Pas hanya mahu tumbangkan Umno, tapi sifat Tok Guru (Haron), Pas bukan hanya kerja nak runtuhkan Umno tapi kerja membina ummah.  Itulah kelebihan politik Haron Din berbanding Nik Aziz, politiknya adalah politik menyatu. Politik menghubung,” tambah Nik Abduh, seperti laporan Antarapos.

Justeru, saya kira "ramalan" Salahuddin bahawa Pas akan berpecah sekali lagi, akan menjadi kenyataan jika ahli-ahlinya dapat melihat kecenderungan politik pemimpin tertingginya adalah untuk membawa kerjasama -- walau dalam apa bentuk sekalipun - dengan Umno-Najib.

Boleh jadi juga momentum kali ini lebih besar daripada perpecahan yang mewujudkan Parti Amanah Negara lebih setahun lalu. Ahli-ahli akar umbi mungkin dapat menerima dan akur dengan apa juga eksperimen politik, asalkan bukan mengadakan pakatan politik dengan Umno.

"Dan jangan terkejut, kalau berlaku persefahaman politik dengan Umno, baik atas nama tahaluf ke, taawun ke, negeri yang dilihat penyokong kuat Haji Hadi, misalnya Terengganu sendiri, Pas boleh terjejas teruk di sana," kata seorang veteran Pas.

Malah, saya teringat kata-kata bekas seorang AJK Pas Pusat ketika beliau masih menyandang jawatan itu, dalam satu meyuarat di Harakah, lebih dua tahun lalu: "Soal hubungan rapat baik Pas-Umno hanya masalah penerimaan ahli peringkat bawah. Pemimpin tertinggi tertentu sudahpun ada keputusan positif untuk menjalin hubungan itu. Cuma mereka takut reaksi negatif akar umbi."

http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=46574

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...