TERKINI :

Tuesday, March 21, 2017

Ahmad Bashah, letak jawatan kalau tak boleh selesaikan masalah Stadium Darulaman

Kenyataan Media YB Gooi Hsiao Leung 19.3.2017

1. Khamis lalu, saya telah bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan di Parlimen sama ada kerajaan persekutuan telah memberikan apa-apa bantuan kewangan tahun lepas dan tahun ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf Stadium Darul Aman, yang sangat diperlukan.

2. Saya kecewa dengan jawapan Menteri bahawa tidak ada bantuan kewangan daripada kementeriannya yang telah diberikan dan tiada sebab juga diberikan oleh Menteri untuk jawapannya.

3. Stadium Darul Aman sudah sejak 2015 telah membuat rayuan terdesak kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf yang segera diperlukan - tetapi malangnya, rayuan stadium telah jatuh pada telinga pekak.

4. Pada masa ini, Stadium Darul Aman memerlukan RM10.9juta untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf sistem pencahayaan lampu limpah, sistem papan markah elektronik dan sistem lif penumpang.

5. 154 daripada 432 biji lampu limpah stadium tidak berfungsi dan Persatuan Bolaksepak Malaysia (FAM) sudah beberapa kali mengeluarkan surat amaran bahawa tahap pencahayaan di stadium gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh FAM untuk perlawanan bolasepak Liga Malaysia untuk dimainkan pada waktu malam.

6. Baru-baru ini pula, pada bulan Januari, Stadium Darul Aman telah juga gagal pemeriksaan untuk tahap pencahayaan yang dilaksanakan oleh The Football Malaysia LLP (FMLPP), badan yang menguruskan Liga Super Malaysia.

7. FMLPP telah memberi kerajaan negeri 60 hari, yang akan luput pada 26/3/2017, untuk membetulkan tahap pencahayaan yang tidak mencukupi dalam Stadium Darul Aman, dan sekiranya tidak, Stadium Darul Aman akan berhadapan risiko nyata – iaitu kehilangan hak untuk menjadi venue tuan rumah pasukan Kedah dalam perlawanan Liga Super dalam permainan pada waktu malam .

8. Sekiranya Stadium Darul Aman di-lucutkan haknya untuk menjadi tuan rumah perlawanan Liga Super, ia akan menjadi satu kekecewaan yang amat besar kepada pasukan bolasepak Kedah, sedangkan prestasi mereka kebelakangan ini cukup cemerlang, setelah memenangi Piala Malaysia tahun lalu, dan sehingga ini tidak ditewaskan dalam satu perlawanan Liga Super 2017 tahun ini.

9. Saya menyeru kepada Menteri Besar Ahmad Bashah untuk henti bermimpi membina stadium barunya dan pergi melakukan apa yang beliau mendakwa sebelum ini, iaitu kehebatannya untuk mencari dana, untuk menyelesaikan masalah kewangan yang sudah lama dihadapi oleh Stadium Darul Aman.

10. Jika Ahmad Bashah gagal ke depan untuk menunaikan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, beliau perlu meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Gooi Hsiao Leung
Ahli Parlimen Alor Setar.
Timbalan Pengerusi Keadilan Negeri Kedah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...