TERKINI :

Thursday, March 30, 2017

2017 PUN SUDAH PERIT, MAHU TUNGGU 2050?

KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH NASIONAL
(30 Mac 2017)

www.likeorange.net

Pemuda AMANAH Nasional terpanggil untuk menjawab kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengatakan generasi akan datang tidak 'mewarisi' beban peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat kini melalui program Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kami menegaskan, masalah yang dihadapi oleh golongan muda khususnya kos sara hidup perlu diselesaikan segera, bukannya menunggu tahun 2050.

Dilema rakyat khususnya golongan muda sering dibangkitkan oleh Pemuda AMANAH dan Pakatan Harapan secara keseluruhannya dan kini Khairy mengakui akan hakikatnya. Beberapa isu besar yang perlu dipandang serius dan diselesaikan secara tuntas oleh pihak kerajaan tanpa perlu mengambil masa yang terlalu lama.

*1. PENGANGGURAN TINGGI DI KALANGAN GRADUAN*

Minggu lalu, Laporan Tahunan 2016 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan pengangguran belia atau anak muda telah mencecah 10.7 peratus dalam tahun 2015. Jumlah tersebut lebih tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara pada iaitu 3.1 peratus.

Data ini menunjukkan bahawa pada tahun 2015, seramai 42 peratus daripada kadar pengangguran itu adalah lingkungan umur 20 hingga 24 tahun, manakala 20.4 peratus berumur 25-29 peratus. Golongan berumur 15-19 tahun pula dicatatkan sebanyak 19 peratus.

Laporan itu dengan jelas telah menyatakan dengan terperinci bahawa pengangguran juga sangat tinggi di kalangan graduan iaitu sebabanya 15.3 peratus.

*2. GAJI YANG RENDAH*

Hasil kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati, keseluruhan gaji di Malaysia berlaku peningkatan tetapi sangat perlahan. Median gaji pertengahan tahun ini berada di tahap RM1,600 sebulan berbanding RM1,500 tahun lalu.

Namun di kawasan-kawasan bandar, kenaikan gaji hanyalah sebanyak RM55 sahaja manakala rakyat yang tinggal di pedalaman mendapat gaji kurang dari RM1,200 iaitu sebanyak RM400 kurang dari mereka yang di bandar. Di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang, kadar kenaikan menjadi kosong jika kita ambil kira kadar inflasi.

*3. KOS SARA HIDUP TINGGI*

Menurut Profesor Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Rahmah Ismail, bayaran upah atau gaji di Malaysia jauh lebih rendah dari negara jiran iaitu Singapura tetapi lebih tinggi dari Indonesia dan Thailand.

Namun, perbandingan dengan Indonesia dan Thailand menunjukkan kos sara hidup di Malaysia adalah lebih tinggi menyebabkan gaji benar di negara ini jauh lebih rendah.

Dalam masa yang sama, harga makanan meningkat lebih cepat berbanding barang-barang lain, iaitu kira-kira 30 peratus. Ini telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport pelbagai jenis bahan makanan daripada luar negara. Contohnya, negara telah mengimport lebih 90 peratus bekalan susu dan 70 peratus bekalan daging mentah.

*4. HARGA RUMAH MAHAL*

Rumah mampu milik yang dibina setiap tahun hanya 21 peratus berbanding lebih 60 peratus keperluan sebenar. Harga rumah yang melambung tinggi tidak selaras dengan realiti ekonomi rakyat yang menyebabkan 70 peratus rakyat tidak mampu memiliki rumah.

Laporan BNM bagi tahun 2016 menunjukkan bahawa pasaran perumahan kurang penawaran berbanding permintaan khususnya bagi rumah mampu milik. Peningkatan kadar upah dan rumah pula tidak selari.

*5. KOS PENGANGKUTAN*

Selain peningkatan kos bahan api, makanan, perubatan dan lain-lain, kerajaan juga gagal untuk menyekat daripada berlakunya kenaikan kos pengangkutan. Rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhada sangat terkesan apabila kos pengangkutan meningkat termasuklah kos pengangkutan awam.

Isu-isu besar yang sedang dihadapi oleh rakyat ini wajar diselesaikan secara tuntas, bukannya bermain dengan pelbagai slogan demi kepentingan tertentu. TN50 adalah satu lagi kaedah untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan BN!

Membina Negara Berintegriti
#PemudaBekerja

*MOHD SANY HAMZAN*
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...