TERKINI :

Thursday, February 2, 2017

Untungkah BERSATU, PAS bekerjasama?

Untungkah BERSATU, PAS bekerjasama?

 Segala-galanya masih kabur dan di awang-awangan.

Tarikh yang ditunggu semalam (1 Februari 2017) untuk mengetahui keputusan rundingan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada hakikatnya belum menunjukkan ada apa-apa.

Walaupun sebelum ini, Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat itu akan menjadi penentu kepada kerjasama antara PAS dan partinya, ternyata setakat ini kedua-dua pihak hanya bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal bersama.

mungkin kesan serangan PAS yang bertubi-tubi terhadap Dr Mahathir.

Kenyataan bahawa "rangka kerjasama persefahaman politik" akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk diperhalusi membawa makna jelas – ia masih menunggu persetujuan peringkat tertinggi parti untuk menentukan hala tuju sebenar kerjasama berkenaan.

Hakikatnya hasil pertemuan delegasi PAS yang diwakili Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan BERSATU - Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir - masih jauh dan samar.

Mesyuarat semalam boleh diumpamakan sebagai permulaan, bukan “penentu” kerjasama pilihan raya antara BERSATU dan PAS, apa lagi untuk menjamin satu lawan satu menghadapi BN.

Perwakilan PAS dan BERSATU hanya membawa pulang “rangka kerja persefahaman politik” yang dicapai dalam pertemuan semalam. Kepimpinan tertinggi kedua-dua parti akan memutuskan apa langkah berikutnya.

Jika dilihat secara mendalam usaha PAS dan BERSATU ini, ia membawa kepada pertanyaan berikut:

Pertama, apakah kerjasama itu meliputi keseluruhan pilihan raya, termasuk di parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) di semua negeri yang membabitkan calon PAS dan BERSATU?

Kedua, apakah kerjasama itu hanya akan berlaku di beberapa negeri sahaja. Contohnya di Terengganu tetapi tidak di Kelantan, Johor dan Kedah?

Ketiga, jika diwujudkan kerjasama, apakah kesan kepada hubungan semakin baik Umno dan PAS setakat ekoran hubungan BERSATU dengan AMANAH, DAP dan PKR?

Keempat, bagaimana kedudukan BERSATU dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika amat jelas kini PAS tidak boleh duduk semeja dengan AMANAH dan DAP?

Kelima, apa tujuan BERSATU menjalin kerjasama dengan PAS? Mahu menjadi pemerintah bersama atau hanya menjadi 'ekor' kepada PAS yang akan berlagak sebagau 'tuan'?

Pertanyaan ini ada relevan terutama di lima negeri – Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor - kerana BERSATU dan PAS menunjukkan kegairahan untuk meletakkan calon mereka.

Cuma dengan restu PAS

Di Johor, rasanya BERSATU boleh bersendirian kerana sejauh ini pengaruh PAS tidaklah begitu besar walaupun ia memiliki tiga kerusi DUN (seorang melompat ke AMANAH) berbanding dengan Umno memiliki 31 kerusi (selepas seorang ADUN melompat ke BERSATU).

DAP pula mempunyai 13 kerusi berbanding MCA dua dan MIC sebanyak tiga kerusi, manakala dan Gerakan satu.

Di Kelantan pula, apakah PAS memilih untuk bekerjasama dengan BERSATU bagi menjamin ia terus menjadi kerajaan negeri jika diasak bertubi-tubi oleh Umno dan AMANAH?

Tidak berkemungkinankah PAS akan main silap mata dengan Umno dan yang kelak akan rugi ialah BERSATU yang hanya menumpukan kerusinya di kawasan DUN atau parlimen yang dimenangi Umno saja?

Ini bermakna hanya 12 DUN dan empat kerusi parlimen sahaja mempunyai ruang untuk BERSATU bertanding. Itu pun bergantung kepada persetujuan dengan PAS dan AMANAH.

Di Terengganu, PAS sedang bersiap sedia dengan bala tenteranya konon akan menawan kerajaan negeri kali ini dengan paling tidak memenangi 20 kerusi DUN dan menambah kerusi parlimen.

BERSATU mungkin berpeluang bertanding di mana-mana 17 kerusi yang kini dipegang oleh Umno. Ia turut berpeluang meletakkan calon sekurang-kurangnnya di tiga daripada empat kawasan parlimen dikuasai Umno iaitu Besut, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu.

Itu pun dengan restu PAS jika mereka bekerjasama. Dengan nafsu yang begitu menggelegak di kalangan pemimpin PAS yang sudah menunjukkan watak seolah-olah menteri besar, apakah BERSATU akan diberikan kerusi begitu banyak?

Apa pula kedudukan AMANAH yang kini memiliki kerusi parlimen Kuala Terengganu dan PKR yang sudah bertapak sejak dua pilihan raya umum di Terengganu?

Begitu juga di Selangor. Ketika ini PAS mempunyai 13 kerusi di DUN selepas dua ADUN parti itu melompat ke AMANAH (BERSATU tidak mempunyai sebarang kerusi di negeri itu).

Sementara DAP ada 15 kerusi dan PKR kini mempunyai 13 daripada 14 kerusi selepas bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi ADUN bebas.

Pelik sedikit di Selangor kerana walaupun PAS sedang 'berperang' dengan DAP dan AMANAH, kerajaan HARAPAN masih utuh di Selangor - sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mahukah menjadi ekor

Di sebalik itu, pemimpin PAS nampaknya kurang senang dengan BERSATU yang turut mengintai beberapa kerusi Umno di Selangor.

Di Kedah ada 15 kawasan parlimen dan 36 DUN. Pada PRU ke-13, PAS menang sembilan sahaja kerusi DUN berbanding 16 pada 2008.

Dengan jentera pilihan raya dikemudi Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah - dan dianggap antara faktor memenangkan BN Kedah pada pilihan raya umum lalu - peranan anak Dr Mahathir itu jangan dilihat sebelah mata.

Ketika ini BERSATU mempunyai peluang untuk bertanding di 18 kerusi Umno (pada PRU ke-13, Umno menang 19 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan). Jumlah ADUN Umno menjadi 18 selepas ADUN Ayer Hitam (Mukhriz) menyertai BERSATU.

PAS juga berkurangan satu kerusi kepada AMANAH di DUN Pengkalan Kundor kesan Dato Phahrolrazi Zawawi melompat ke AMANAH. Parti lain di DUN Kedah ialah MCA (2), PKR (4) dan DAP (2).

Inilah situasi yang berlaku ketika ini.

Persoalannya apakah BERSATU rela menjadikan dirinya sebagai ‘ekor’ kepada PAS semata-mata jika bekerjasama, atau menjadi ‘rakan politik’ yang bermakna diberikan kedudukan yang lebih baik dalam rangka kerjasama.

Di Johor, Kedah dan mungkin Terengganu, jika dengan strategi dan umpan yang mengena, BERSATU boleh membuat kejutan dengan menjadi peneraju dan PAS menjadi rakan politik yang bermakna.

Namun, ia perlulah bergantung kepada percaturan dan perundingan dengan PAS, lebih-lebih lagi di Terengganu.

Seperkara lagi, apa kesan hubungan politik PAS-BERSATU di Johor kerana kerusi DUN dimiliki DAP agak besar (13 kerusi). Untungkah BERSATU bekerjasama dengan PAS di Johor berbanding dengan DAP?

BERSATU perlu beringat, melihat sikap PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini, kedudukan wakil tunggal PKR di kedua-dua DUN itu menjadikan mereka bagaikan "anjing buruk kepala" saja.

Apakah BERSATU sanggup menerima atau berharapan seperti siatuasi PKR di Kelantan dan Terengganu jika mereka bekerjasama di negeri yang PAS dilihat mempunyai kekuatan?

Atau PAS sudah berubah daripada sikap lamanya yang sering memandang rendah kepada rakan sekerjasama mereka?

Mungkinkah layanan PAS kepada BERSATU akan berbeza daripada cara mereka melayan PKR dan DAP selepas parti itu mencapai cita-citanya?

Apa yang diharapkan, rangka kerjasama hasil mesyuarat semalam diperhalusi dengan baik oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani presiden masing-masing pada waktu terdekat.

Turut penting kepada BERSATU juga ialah, kerjasama dengan HARAPAN selepas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat parti itu menyertai gabungan berkenaan semasa berucap di Shah Alam November lalu.

Dengan kedudukan PAS menolak kerjasama dengan AMANAH dan DAP, apakah reaksi dan tindakan dua parti itu jika kerjasama benar-benar terjalin antara PAS dan BERSATU?

Apakah BERSATU akan berada dalam kedudukan tidak selesa dengan AMANAH dan DAP, di samping PKR akan sangat berwaspada dengan sikap BERSATU untuk beberapa ketika ini?

HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini perunding media bebas. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan sikap Malaysiakini

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...