TERKINI :

Wednesday, February 22, 2017

SPRM pandang serius agensi agama terlibat rasuah

Bernama

KUALA LUMPUR: Agensi agama tidak akan terlepas daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika didapati terdapat unsur rasuah dan salah laku dalam organisasi berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata kedudukan dan kuasa yang diberikan bukanlah alasan untuk pegawai jabatan agama terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Sekiranya ada mana-mana pihak berfikiran mereka boleh terlepas daripada siasatan SPRM, tindakan yang diambil kebelakangan ini terbukti tidak ada satu agensi pun yang tidak disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan 4 pegawai agama Johor yang disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa di negeri itu, semalam.

Azam berkata SPRM memandang serius perkara itu kerana individu berkenaan sangat dipercayai masyarakat dan sepatutnya menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh integriti.

Ini bukan kali pertama pegawai jabatan agama ditahan SPRM malah beberapa pegawai jabatan agama di negeri lain juga pernah ditahan dan disiasat sebelum ini, katanya.

“Sebagai pegawai agama, mereka sepatutnya mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah rasuah,” katanya.

Semalam, SPRM Johor menahan 2 pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan dua pegawai Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru yang bertugas di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

Seorang Ketua Penolong Pengarah dan seorang lagi Penolong Pegawai Bahagian Undang-undang Syariah (JAINJ) ditahan selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan permit penganjuran kursus pra-perkahwinan tanpa melalui prosedur.

Dua pegawai yang bertugas di PPID itu pula ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Johor.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...