TERKINI :

Saturday, February 25, 2017

Selesai agensi bertindih sebelum buang orang, tegur Amanah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pertindihan peranan dan tugas pelbagai agensi dan jabatan kerajaan perlu dibetulkan sebelum mengambil langkah membuang kakitangan awam, kata Amanah.

Timbalan Presiden Salahuddin Ayub menyeru pengurusan audit dilaksanakan bagi membetulkan struktur kerajaan sekaligus menghasilkan penjimatan.

“Sebelum isu ini memangsakan anggota perkhidmatan awam, mengapa kita tidak berfikir untuk menstrukturkan semula isu pertindihan beberapa jabatan dan agensi,” katanya dalam kenyatan semalam.

“Kita lihat situasi hari ini di mana wujudnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kemudian diadakan pula Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Apa perlunya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) setelah adanya Majlis Amanah Rakyat (Mara). Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bertindih dengan Perbadanan PR1MA Malaysia. Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) pula ditubuhkan setelah adanya Unit Perancang Ekonomi,” soalnya.

SPAD, Teraju, PR1MA, Pemandu dan Unit Perancang Ekonomi terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

SPAD berperanan merancang, menyelia, dan menguatkuasakan semua perkara berkaitan dengan pengangkutan awam darat di Malaysia Timur; Teraju menerajui, menyelaras dan memacu agenda Bumiputera; dan PR1MA merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan untuk penduduk bandar berpendapatan sederhana.

Pemandu pula menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong dan memacu kemajuan program transformasi kerajaan dan ekonomi; manakala Unit Perancang Ekonomi diberi misi untuk mengurus pembangunan sosio ekonomi negara.

JPJ terletak di bawah Kementerian Pengangkutan untuk mengawal selia kenderaan motor, pemandu dan lalulintas jalan; Mara di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera; manakala SPNB milik Kementerian Kewangan Diperbadankan memastikan penyediaan rumah mampu milik.

“Ini belum lagi saya perbahaskan pertindihan kementerian yang tidak perlu dan jawatan lantikan politik yang keterlaluan,” kata Salahuddin.

Sebelum ini, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mencadangkan kerajaan mengecilkan saiz pekhidmatan awam bagi mengurangkan beban kewangan.

Menurut Mohd Sheriff, perkhidmatan awam semasa mempunyai kira-kira 1.6 juta orang penjawat bermakna Malaysia mempunyai nisbah dengan penduduk merupakan yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

Kenyataan Sheriff itu disokong Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani yang menyatakan ketika ini terdapat kira-kira 1 orang penjawat awam bagi setiap 19.37 orang penduduk, menyebabkan perbelanjaan kerajaan bertambah.

Saifuddin berkata, terbeban dengan tanggungan kewangan dan gaji tidak seharusnya dijadikan alasan tatkala negara menghadapi isu kejatuhan ringgit dan kemelesetan ekonomi.

“Ia adalah hujah yang bersifat pra-matang serta sangat berat sebelah. Lakukan rancangan yang lebih teliti dan efisien untuk meningkatkan kompetensi sistem perkhidmatan awam kita,” katanya.

Pada 2016, kerajaan membelanjakan RM74 bilion untuk membayar penjawat awam, meningkat daripada RM22 bilion pada 2003.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...