TERKINI :

Monday, February 20, 2017

SAMM - Tahniah PAS Dan UMNO Atas Penganjuran Himpunan RUU 355

Kenyataan Umum
20 Februari 2017

Tahniah PAS Dan UMNO Atas Penganjuran Himpunan RUU 355

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada penganjur PAS & UMNO dalam himpunan RUU 355 kelmarin. SAMM menyambut baik himpunan tersebut dapat diadakan secara aman jika pihak berkuasa sama ada PDRM ataupun DBKL memberikan kebenaran tanpa sebarang provokasi awal.

SAMM melihat titik positif dalam himpunan tersebut apabila dihadiri oleh dua pimpinan UMNO bertaraf Menteri iaitu YB Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YB Asyraf Wajdi Dasuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kehadiran kedua-dua pimpinan UMNO yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam ini sepatutnya menjadi batu loncatan untuk pihak Pemerintah mengambil alih pembentangan pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat Mac nanti.

Sungguhpun SAMM mengalu-alukan penganjuran pelbagai bentuk himpunan awam atas nama kebebasan berekspresi, namun rakyat perlu memahami bahawa sesuatu pindaan akta lebih mudah diluluskan sekiranya ia dikemukakan oleh pihak Kerajaan Pemerintah. Mengambil contoh Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular di kalangan rakyat berjaya diluluskan dengan mudah kerana ia dikemukakan oleh pihak Kerajaan.

Kebiasaannya, kumpulan yang membantah pembentangan satu rang undang-undang akan berhimpun tunjuk rasa sebagai satu cubaan untuk mendesak Kerajaan Pemerintah tidak meneruskan rancangan membentangkan satu-satu rang undang-undang. Tetapi, RUU 355 ini telah menjadi terbalik dan kongkalikong apabila Menteri dan Timbalan Menteri yang menjaga portfolio agama turut berucap berapi-api memanaskan sentimen hadirin sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk mengemukakannya di Dewan Rakyat.

Rakyat, khususnya Ahli PAS harus faham mengenai Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-Undang. Jika Ahli Parlimen Marang yang merupakan Presiden PAS mengemukakan pindaan Akta 355, ia hanyalah menjadi satu usul yang apabila diluluskan oleh Dewan Rakyat baharulah akan diserahkan kepada Menteri untuk dibawa sebagai Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355.

Kegagalan Menteri untuk mengambil alih pembentangan pindaan akta ini dalam sesi mesyuarat Dewan Rakyat Mac nanti hanya menyerlahkan sikap sebenar UMNO/BN yang menggunakan polemik agama dan PAS demi survival hegemoni UMNO/BN. Kerajaan Pemerintah sudah tidak mempunyai alasan untuk tidak mengambil alih pembentangan pindaan Akta 355 melainkan isu ini ingin dipergunakan sehingga tarikh pembubaran Parlimen.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...