TERKINI :

Tuesday, February 28, 2017

Penyokong Hijau Kuning - Jangan roboh, tapi tambah stadium

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
25 FEBRUARI 2017

Jangan roboh, tapi tambah stadium Stadium Darul Aman sarat dengan pelbagai kejayaan dan dekat dengan rakyat negeri Kedah sepanjang 55 tahun ini.

PENYOKONG mahu Stadium Darul Aman terus dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang kerana sarat dengan sejarah tersendiri termasuk menjadi mercu di Bandaraya Alor Setar.

Presiden Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Fazli Mansor berkata, majoriti penyokong memberi pandangan agar stadium sedia ada ditambahbaik supaya lebih baik dan selesa.

Beliau berpendapat, langkah tersebut lebih relevan berbanding cadangan untuk merobohkan ikonik Kota Setar tersebut kerana mahu memberi ruang kepada pembangunan lain di sekitar kawasan tersebut.

"Kami fikir buat masa ini hanya perlu kepada penambahbaikan stadium yang sedia ada sahaja kerana kepadatan stadium hanya akan berlaku pada perlawanan tumpuan ataupun Kedah berjaya memasuki peringkat suku akhir sehingga ke final pada pertandingan Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Bagaimanapun, sebagai penyokong kami tidak menolak pembangunan kerana jika masih mahu membina stadium boleh diteruskan di kawasan lain namun Stadium Darul Aman terus dikekalkan," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, sudah tiba masanya Kedah juga mempunyai dua buah stadium yang mempunyai kapasiti besar serta mampu menampung jumlah penonton berpuluh-puluh ribu orang pada satu-satu masa.

"Sungai Petani mungkin lokasi paling sesuai untuk dibina stadium baharu kerana ia berada di tengah-tengah negeri ini selain mempunyai segala kemudahan yang diperlukan buat masa sekarang," katanya.

Perkara tersebut turut dipersetujui Setiausaha Kehormat Kelab Primaherbs Frenz Kedah, Mohd Amirul Ashraf Abu Mansor yang percaya Kerajaan Negeri Kedah akan mempertimbangkan semua perkara termasuk menilai sejarah dimiliki oleh stadium tersebut yang mula digunakan pada 1962.

Bagaimanapun keperluan untuk menampung jumlah penyokong pada masa hadapan tetap perlu difikirkan dan beliau turut bersetuju sekiranya pihak berkaitan membina stadium lain di kawasan lain dengan kapasiti lebih besar.

"Stadium yang ada sekarang ini banyak kenangan buat penyokong Kedah malah disinilah kejayaan bermula dan kami berharap ia dapat terus digunakan oleh setiap generasi Hijau Kuning sampai bila-bila," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sukan/jangan-roboh-tapi-tambah-stadium-1.634327

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...