TERKINI :

Monday, February 27, 2017

Pemuda Amanah Kelantan ajak Armada turun lapangan

26 Februari 2017 | ARIF ATAN


Hazmi Hassan

Pemuda Amanah Kelantan mengajak sayap pemuda Parti Pribumi Beratu Malaysia (Bersatu), Armada untuk turun ke lapangan mendengar sendiri suara akar umbi dan rintihan nasib rakyat negeri di pantai timur itu.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, selepas lebih dua dekad Pas menguasai kerajaan negeri tersebut, rakyat mahukan tawaran baharu yang lebih baik daripada pentadbiran sedia ada.

"Lihat dan dengar sendiri suara rakyat Kelantan. Adakah masih mahukan Pas yang hanya sibuk pertahankan kuasa atau bersama perubahan dan mahu kenderaan politik yang membela nasib rakyat tertindas," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tentang penegasan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman baru-baru ini supaya Kelantan dikekalkan di bawah Pas kerana mendakwa parti Islam itu terbukti terus melawan Umno.

Sehubungan itu, Hazmi menganggap pendebat terbaik Asia itu tidak memahami situasi sebenar politik Kelantan yang menyaksikan pimpinan Pas pada masa ini tidak lagi memberi keutamaan kepada hak dan keadilan rakyat.

"Beliau (Saddiq) mungkin tidak tahu bahawa pimpinan Pas Kelantan bersama Pemuda Pas hari ini hanya sibuk mempertahankan Kerajaan Pas Kelantan sehingga terlupa tanggungjawab sebenar yakni membela nasib rakyat.

"Isu nasib Orang Asli, pengambilan tanah di Kampung Laut, pasar baru Pasir Puteh dan banyak isu rakyat di mana pimpinan Pas sunyi dan tidak turun ke lapangan menyantuni rakyat.

"Berbeza jika tauke balak diserang di mana Pemuda Pas sanggup berjam-jam masuk ke hutan untuk membela tauke balak dari diserang," tegasnya.

Mengulas lanjut, Hazmi turut menyifatkan hujah untuk mengekalkan Pas di Kelantan atas alasan pimpinan parti itu bebas daripada tuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak tepat.

"Ini kerana pimpinan Umno juga tidak ramai yang tidak dikenakan tindakan rasuah. Kita melawan Umno bukan hanya kerana salah laku yang disabitkan oleh SPRM, tetapi kita melawan Umno kerana isu integriti dan moral," ujarnya.

Bukan sahaja BN perlu ditumbangkan, jelasnya lagi, Pemuda Amanah Kelantan menegaskan mana-mana parti yang menjadi tongkat Umno juga harus ditumbangkan.

"Kami tidak lihat Pas serius untuk melawan Umno atau membela rakyat seperti mana Pas melawan Amanah dan Dap," tambah Hazmi lagi.


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Saddiq, 25, dilapor portal rasmi Pas, Harakahdaily pada 25 Februari lalu mendakwa wujud agen dalam parti pembangkang bagi memastikan kelangsungan kemenangan Umno dengan mengagalkan formula pertembungan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Ia dilaksanakan ketika mereka (Umno) sedang nazak, maka agen ini akan berperanan dalam parti pembangkang bagi mengagalkan satu lawan satu.

"Ketika saya hadir majlis ini pun, ada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan tidak menyenangi menyebabkan saya marah dengan perbuatan ini," luah Saddiq lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...