TERKINI :

Saturday, February 25, 2017

Pas kini paling utuh, tak mungkin berpecah: Mohd Zuhdi

Mohd Zuhdi

SHAH ALAM – Pas tidak mungkin berpecah kerana parti itu kini berada dalam situasi paling utuh berbanding era lalu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, beliau sendiri menyaksikan situasi itu setelah berada dalam Pas hampir 20 tahun.

"Ia disebabkan semua pimpinan dan ahli Pas benar-benar memahami dasar dan matlamat parti iaitu mendaulatkan keadilan Islam bagi menggantikan sistem zalim.

"Selain itu, Pas utuh disebabkan golongan bermasalah sudah keluar daripada Pas untuk menyertai Amanah dan PKR.

"Golongan bermasalah ini sebenarnya tidak memahami dan menghayati dasar dan matlamat Islam diperjuangkan Pas, sebaliknya mereka hanya bermatlamat menjatuhkan Umno. Bagi mereka, sesiapa sahaja boleh mendominasi pemerintahan negara, terutama DAP menggantikan Umno, sedangkan menurut Islam kezaliman paling besar ialah syirik dan kafir," katanya, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa Pas berdepan risiko perpecahan setelah jalin hubungan dengan Umno.

Kata Mohd Zuhdi, kenyataan Salahuddin hanya untuk mengalih perhatian umum terhadap perpecahan Amanah.

"Saya menjangkakan sekurang-kurangnya ada tiga kumpulan bersaing untuk menguasai Amanah, iaitu kumpulan Mohamad Sabu, Datuk Husam Musa dan kumpulan yang cenderung Ikram (NGO Islam).

"Disebabkan persaingan itu, sehingga hari ini tidak diketahui bila Amanah akan buat pemilihan pimpinan baharu, sedangkan pemegang jawatan sekarang tidak dipilih melalui muktamar atau mesyuarat agung," katanya.

Jelasnya, berbeza dengan Pas yang akan melangsungkan muktamar pemilihan pimpinan baharu pada April ini.

"Semua mesyuarat agung berlangsung dengan harmoni dan suasana ukhuwah Islamiah cukup tinggi. Keharmonian dan suasana persaudaraan ini menyebabkan Pas berjaya hantar ratusan ribu ahli menyertai Himpunan 355," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...