TERKINI :

Sunday, February 5, 2017

PAS kata ‘sembang saja’, jadi kita jalan dulu, kata Husam

Mohamad Fadli / FMT

BANGI: Islam tidak semestinya dengan PAS, kata penasihat Amanah Husam Musa, maka Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu melakukan persiapan pilihan raya tanpa parti itu.

Husam mengingatkan PH dan PPBM mempunyai agenda nasional yang besar, maka perlu menampilkan barisan yang lebih yakin tanpa PAS.

“Hari ini bincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi esok kata ‘sembang sahaja’. Kita kena teruskan persiapan kita,” katanya di ceramah anjuran Amanah di Bangi malam tadi.

“PAS nak datang kemudian, datang. Islam tak semestinya dengan PAS. Kita mahu 1 kerajaan yang diterima oleh semua tidak kaum tidak kira warna kulit atau bangsa.

“Nak tunggu PAS? Kita jalan dulu. Jika di Kelantan berlakunya 3 penjuru, PAS akan kalah dan akhirnya akan bersama Umno.

“Apa perlu kita lakukan ialah mengerah segala kekuatan untuk beri keyakinan kepada rakyat. Jika kita goyang rakyat pastinya akan kecewa.”

Beliau dipercayai merujuk kepada perkembangan pertemuan antara PAS dan PPBM pada Rabu, dalam usaha PPBM membentuk persefahaman 1 lawan 1 menentang BN dalam kalangan parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Ia bagaimanapun tidak menghasilkan kata putus, malah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata “rangka kerjasama persefahaman politik” yang dibincangkan dalam pertemuan itu perlu diperhalusi lagi.

Pimpinan PH, PPBM dan penganalisis politik percaya pembangkang sukar menewaskan BN sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru melibatkan PAS di Malaysia Barat.

Kerusi majoriti Melayu dipercayai akan menjadi fokus dalam PRU14 akan datang melibatkan Umno, PAS, PKR dan Amanah dan PPBM.

Semalam, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar berkata sokongan kepada PPBM di kawasan pengundi campuran di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor akan terganggu sekiranya kerjasama dengan PAS menjadi kenyataan.

“Pengundi Cina akan tolak. Kalau kerjasama 2 parti itu gagal dijelaskan, kesannya terhadap kerusi dipertandingkan bukan saja di kawasan Melayu, tetapi di peringkat nasional juga.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...