TERKINI :

Wednesday, February 22, 2017

Pas harap MCA tak seperti DAP bantah pindaan Akta 355

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355

Pas menyambut baik cadangan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk duduk semeja berbincang di samping memberikan penerangan mengenai isu pindaan Akta 355 termasuk isu-isu nasional yang berlaku hari ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata, perbincangan mengenai pindaan Akta 355 merupakan suatu langkah yang sangat penting bagi merungkai segala salah faham yang sering diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Salah faham itulah akhirnya menimbulkan ketakutan di kalangan bukan Islam justeru menjauhkan mereka dengan hakikat sebenar.

"Maka, ruang perbincangan dua hala adalah penting bagi merungkaikan segala salah faham tersebut.

"Saya memandang ia sebagai suatu cadangan yang positif dan bagi pihak Pas, kami sentiasa terbuka malah mengalu-alukan mana-mana parti politik mahupun NGO untuk duduk berbincang mengenai pindaan Akta 355," katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini Ong Ka Chuan berkata, MCA sedia berbincang dan bekerjasama dengan Pas mengenai nilai-nilai tertentu seperti pendidikan, pembangunan ekonomi serta masalah-masalah kemasyarakatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan Pas untuk meningkatkan hukuman maksimum seperti terdapat dalam Pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) boleh menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada rakyat di negara ini, yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Justeru Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menegaskan, Akta 355 itu sendiri hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja, justeru dakwaan bahawa ia menyebabkan perpecahan kaum atau ketegangan agama hanyalah suatu alasan bagi mencetuskan provokasi dan persepsi negatif terhadap usaha Pas.

Ia juga kata Nasruddin, melahirkan sikap penentangan terhadap Islam dan penganutnya seperti yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

"Sekiranya MCA memahami hak orang Islam dan agamanya, saya percaya bahawa MCA akan lebih mudah memahami serta menghormati usaha yang Pas laksanakan menerusi sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

"Pas mengharapkan agar MCA tidak menjadi seperti DAP yang berterusan menzahirkan penentangan terhadap usaha memartabatkan Islam di Malaysia," tegasnya.

Beliau juga berkata, Pas dengan pendekatan 'Budaya Politik Matang dan Sejahtera' (BPMS) akan sentiasa konsisten memberikan penerangan mengenai isu ini.

Namun katanya Pas juga tidak pernah mengkesampingkan isu-isu nasional yang lain dan pendirian Pas dinyatakan dengan jelas melalui kenyataan dan ucapan para pemimpinnya.

"Saya berharap agar segala persepsi negatif dan rasa takut terhadap Pas dan perjuangan Islam dibuang terutamanya oleh bukan Islam.

"Anda perlu lihat dengan teliti bahawa di sana terdapat ramai di kalangan bukan Islam yang menyokong Pas. Malah, mereka juga dengan jelas turut menyokong pindaan Akta 355.

"Justeru, ketakutan segelintir bukan Islam itu hanyalah ibarat takutkan bayang-bayang sendiri," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...