TERKINI :

Sunday, February 5, 2017

PAS fitnah, kontrak mufti disambung 4 kali, kata exco

FMT Reporters
GEORGE TOWN: Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden memfitnahkan kerajaan negeri dengan mendakwa ketua menteri mengarahkan Datuk Seri Hassan Ahmad digugurkan sebagai mufti kerana isu Kalimah Allah dan campur tangan dalam hal berkaitan fatwa, kata exco Pulau Pinang.

Datuk Abdul Malik Kassim berkata, kerajaan negeri sebenarnya sudah menyambung kontrak Hassan sebanyak 4 kali, selepas fatwa Kalimah Allah diwartakan.

“Tuduhan itu fitnah dan berniat jahat terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Sebagai seorang yang memahami ajaran Islam dan hukum-hakam, beliau sepatutnya memahami dosa fitnah.

“Sebagai seorang bergelar ustaz, Afnan tidak sewajarnya membuat tuduhan semberono terhadap kerajaan negeri. Meskipun tohmahan itu ditujukan kepada pemimpin bukan Islam, Allah melarangnya,” tulisnya di Facebook beliau.

Malik berkata, fatwa kalimah Allah bersama 39 kalimah suci Islam lain diwartakan kerajaan Pulau Pinang pada 29 April 2010, ketika Hassan menjadi mufti negeri, jawatan yang dipegang beliau sehingga 2014.

“Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengambil alih jawatan mufti daripada Hassan pada 7 Jun 2014, iaitu selepas 4 tahun pewartaan kalimah Allah oleh kerajaan negeri. Dalam tempoh 4 tahun, Hassan disambung kontraknya setiap tahun, iaitu sebanyak 4 kali.”

Rabu lalu, Afnan yang juga setiausaha Pemuda PAS mendakwa kontrak Hassan tidak disambung pada Jun 2014 kerana beliau membantah arahan Lim berhubung penggunaan kalimah Allah yang bertentangan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

Bagaimanapun, Lim hanya mengeluarkan kenyataan membenarkan orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah 6 bulan kemudian, iaitu pada Disember 2014.

Afnan turut mendakwa selepas fatwa Kalimah Allah diwartakan, Lim mengarahkan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri memastikan semua fatwa dikemukakan dalam mesyuarat exco, sebelum dihantar ke Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Malik berkata, beliau mendapat nasihat terus daripada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kebanyakan urusan berkaitan hal ehwal Islam di Pulau Pinang, bukannya Lim.

“Hal pelantikan mufti, yang di-Pertua dan ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang disyorkan serta diluluskan Anwar. Tidak ada sebarang campur tangan oleh Lim Guan Eng.

“Exco dan kerajaan negeri tidak pernah mencampuri urusan fatwa atau menghalang sebarang pewartaan fatwa.

“Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk memanjangkan polemik tidak berasas ini.”

Mahkamah Persekutuan pada pertengahan 2014 melarang majalah mingguan gereja Katolik, Herald menggunakan kalimah Allah

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...