TERKINI :

Friday, February 17, 2017

PAKATAN HARAPAN PERSOAL TAHAP KESELAMATAN PINTU MASUK NEGARA YANG MELIBATKAN INSIDEN WARGA KOREA UTARA

17 Februari 2017

Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal ke atas kejadian pembunuhan Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan menggesa Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri untuk memberi penjelasan tentang kelemahan sekuriti dalam insiden ini. Dalam pada itu, Pakatan Harapan mempersoalkan beberapa perkara:

1.Bagaimanakah Kim Jong-Nam memasuki Malaysia dengan menggunakan passport palsu bernama Kim Chol? Adakah kedua-dua suspek juga memasuki negara ini dengan menggunakan passport palsu di mana salah seorang daripada mereka menggunakan nama Doan Thi Huong? Jika ya, mengapakah pihak imigresen tidak dapat mengesan perbuatan tersebut? Sehingga kini, berapakah pendatang asing yang berjaya menggunakan passport palsu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa? Jika pihak keselamatan memerlukan masa sehingga tiga hari untuk mengenalpasti identiti mayat Kim Jong-Nam, adakah rakyat akan yakin mengenai keberkesanan sistem pengimbasan identiti di lapangan terbang negara kita? Pakatan Harapan difahamkan juga bahawa ketika kejadian MH370 pada tahun 2014, dua warga Iran berjaya menaiki pesawat dengan menggunakan passport yang dicuri tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

2.Zahid Hamidi telah memberi jaminan bahawa tahap keselamatan lapangan terbang di negara kita sentiasa berada pada tahap tertinggi. Jika ianya memang berlaku, mengapakah pihak keselamatan lapangan terbang tidak bertindak dengan segera untuk menahan kedua-dua suspek sejurus melakukan jenayah tersebut? Malahan, suspek dikatakan mempunyai masa untuk menunggu teksi. Pakatan Harapan dimaklumkan bahawa penahanan suspek mengambil masa kira-kira 36 jam hanya selepas media Korea Selatan mendedahkan secara umum. Sebahagian rakyat Malaysia masih mengingati ketika insiden MH370 pada tahun 2014, pihak kawalan trafik udara mengambil masa 17 minit untuk  menyedari bahawa penerbangan MH370 telah hilang daripada radar dan empat jam selepas itu untuk melancarkan operasi menyelamat. Kejadian seumpama ini telah membangkitkan persoalan daripada orang awam mengenai keupayaan pihak keselamatan kita untuk bertindak segera sekiranya berlaku ancaman terhadap negara seperti serangan pengganas di lapangan terbang. 

3.Adakah Kerajaan Umno BN telah membuat klarifikasi dengan Kerajaan Korea Utara terhadap insiden yang berlaku, sebelum menghantar pulang jasad Kim Jong-Nam ke negara asal? Kejadian pembunuhan ini memburukkan lagi imej Malaysia di mata dunia apabila media-media antarabangsa mendedahkan pelbagai isu hangat yang telah menjejaskan reputasi negara ini. Sekiranya pihak Korea Utara disahkan terlibat dalam insiden ini, adakah Zahid Hamidi akan meminta Kerajaan Korea Utara menjelaskan penglibatan mereka dan memohon maaf kepada Malaysia kerana melibatkan negara kita dalam konflik dalaman negara tersebut?

Pakatan Harapan berharap agar pihak berkuasa dapat memberi penjelasan dan menjawab segala persoalan dengan telus, terutama ketika pemerhati-pemerhati antarabangsa sedang menilai reaksi Malaysia dalam menangani isu ini.

PAKATAN HARAPAN

YB Datuk Raja Kamarul Bahrin
Parti Amanah Negara(AMANAH)

Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Parti Keadilan Rakyat(PKR)

YB Teresa Kok
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...