TERKINI :

Tuesday, February 21, 2017

NAJIB KATA, BN AKAN MENANG PRU 14 DENGAN BANTUAN PAS....

Shahbudin Husin,

Selepas sekarang Pas seolah-olah sudah berada dalam dakapan UMNO, Najib Razak dilaporkan meluahkan keyakinan dalam beberapa perjumpaan bahawa BN akan menang PRU 14 akan datang ini.

Seorang pemimpin UMNO yang banyak kali menghadiri perjumpaan tersebut berkata, Najib tidak pernah memperlihatkan kebimbangan atau mood lain selain keyakinan untuk menang dalam setiap pertemuan yang dihadirinya.

Najib seterusnya dilaporkan meminta, momentum kemenangan yang ada ketika ini perlu terus dikekalkan sehinggalah tarikh pilihanraya diumumkan.

Keyakinan Najib terhadap kemenangan itu dikatakan tidak lain ialah berikutan pertolongan tidak langsung yang dihulurkan Pas melalui keinginan parti Islam itu untuk memastikan berlakunya pertandingan tiga penjuru dalam PRU 14 nanti.

Najib juga dikatakan tidak begitu memperdulikan sama ada parti-parti komponen bukan Melayu dapat menyumbang kerusi atau sebaliknya kerana melalui pertandingan tiga penjuru itu nanti, ia sudah memadai untuk BN membentuk kerajaan.

Tentang hubungan dengan Pas yang dilihat seperti bersama UMNO, tetapi tiada sebarang perjanjian rasmi dan dalam masa yang sama masih juga meneruskan perbincangan dengan Bersatu, Najib dilaporkan melahirkan keyakinan agar "usah bimbang dengan pendirian Pas."

Najib seterusnya memberitahu, usah peduli atau terkesan dengan sebarang tanggapan serta tohmahan mengenai hubungan baik antara UMNO dan Pas sekarang, termasuk mengaitkannya dengan wang ringgit dan sebagainya kerana yang penting ialah matlamat untuk menang pilihanraya.

Memang sejak minggu-minggu kebelakangan ini, Najib mula menyibukkan diri dengan menghadiri beberapa perjumpaan tertutup dengan beberapa kumpulan dalam UMNO serta agensi-agensi yang ada kaitan dalam membantu kemenangan BN.

Keadaan ini memberi petunjuk bahawa tarikh pilihanraya semakin hampir dan tarikh yang paling banyak disebut untuk Najib membubarkan Parlimen ialah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Soalnya, dengan keyakinan Najib bahawa BN akan menang PRU 14 akan datang melalui bantuan secara tidak langsung oleh Pas itu, sedarkah parti Islam itu mereka kini seolah-olah sedang dipergunakan oleh UMNO?

Apakah Pas rela diperlakukan sedemikian oleh UMNO yang selama bertahun-tahun selama ini dianggap sebagai musuh paling utama atau ada faktor lain yang mendorong ia terjadi?

Selepas BN menang pula, apa ganjaran yang bakal diterima oleh Pas?

Adakah Pas akan bergabung dengan UMNO untuk membentuk kerajaan campuran dan seterusnya bakal menganggotai kabinet?

Atau mungkinkah, jika jumlah kerusi BN mencukupi untuk membentuk kerajaan, Pas akan ditinggalkan begitu saja oleh Najib dan UMNO? (SH 21/02/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...