TERKINI :

Tuesday, February 28, 2017

NAJIB BENAR2 SUDAH TERDESAK

NAJIB BENAR2 SUDAH TERDESAK

Siapa pun yang membaca kenyataan Najib Razak mengenai kenaikan harga minyak, perlaksanaan BR1M serta GST dan percubaan membandingkannya dengan Arab Saudi, dapat merasakan beliau dalam keadaan sangat terdesak untuk meraih sokongan rakyat sempena lawatan Raja Salman ke negara ini.

Membandingkan dengan Arab Saudi dalam beberapa perkara ketika Raja Salman berada di sini memperlihatkan Najib dalam kesempitan dalam mengambil kesempatan sehingga perbandingan yang dibuatnya kelihatan tidak kena sama sekali.

Kalau pun mahu membuat perbandingan, Najib sepatutnya membandingkan epal dengan epal juga dan bukan menyamakan pisang dengan kurma.

Mungkin sebagai satu petanda bahawa harga minyak akan naik lagi pada 1 Mac ini, Najib mengkritik mereka yang bising-bising dengan kenaikan petrol sebanyak 10 sen atau 20 sen, sedangkan kata beliau, di Arab Saudi kenaikannya adalah 50 peratus.

Sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini, kali terakhir Arab Saudi menaikkan harga minyak ialah pada Disember 2015 iaitu Ron91 sebanyak 20 sen daripada 0.45 riyal kepada 0.65 riyal, manakala Ron95 daripada 0.60 riyal kepada 0.90 riyal.

Berapa harga semasa minyak di Malaysia meskipun kenaikannya cuma 10 sen atau 20 sen?

Berapa pula harga kenderaan di Arab Saudi jika dibandingkan dengan Malaysia?

Maka, adil dan tepatkah perbandingan harga minyak antara Malaysia dengan Arab Saudi yang dibuat Najib itu?

Selain itu, Najib juga mendakwa Arab Saudi turut merancang untuk menyalurkan bantuan wang tunai mirip BR1M kepada rakyatnya, di samping akan memperkenalkan GST.

Sekali lagi, Najib tersilap dan sangat terdesak untuk meraih sokongan rakyat dalam membuat perbandingan sehingga terlupa bahawa Malaysia adalah negara demokrasi, sedangkan Arab Saudi sebuah negara monarki.

Di Arab Saudi, oleh kerana ia pemerintahan monarki dan tiada pilihanraya umum, bantuan yang dihulurkan adalah semata-mata untuk membantu rakyat yang kesusahan dan bukan untuk mendapatkan populariti.

Bantuan yang mereka berikan tiada elemen politik kepartian, tidak disalurkan melalui pejabat parti dan tidak juga digembar-gemburkan berulangkali di televisyen seolah-olah idea yang cukup luar biasa.

Dari segi GST pula, sedarkah Najib bahawa di Arab Saudi, rakyat mereka tidak dibebankan dengan banyak cukai seperti di negara kita ini?

Berapa pula pendapatan per kapita dan gaji asas kakitangan awam di Arab Saudi?

Oleh itu, dapat difahami bahawa jika GST dilaksanakan di Arab Saudi ia adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan bagi kepentingan rakyatnya yang sudah diberi banyak keselesaaan selama ini dan berbeza dengan di Malaysia di mana GST lebih bertujuan mendapatkan wang semata-mata sambil menutup kegagalan Najib dari segi memajukan ekonomi negara.

Berbeza dengan Tun Mahathir Mohamad, disebabkan gigih memajukan ekonomi dan berjaya menarik banyak pelaburan asing, beliau tidak memerlukan GST yang menyusahkan rakyat untuk mendapatkan wang bagi negara.

Lantaran terdesak itulah agaknya sampai Setiausaha Akhbar Najib sendiri, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad untuk kesekian kalinya terpaksa membuat kenyataan bagi pihak dirinya sendiri untuk menyerang Tun Mahathir.

Biasanya seorang Setiausaha Akhbar hanya mendraf kenyataan akhbar untuk ditandatangani oleh bossnya saja, bukan beliau yang bertindak menyerang musuh majikannya.

Apalah sangat level seorang Setiausaha Akhbar yang cuma makan gaji jika dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri?

Apakah sudah tiada menteri, timbalan menteri atau pemimpin UMNO  lain yang sudi bersuara, maka sekarang ini Setiausaha Akhbar juga sudah mahu masuk gelanggang politik?

Adakah dari sudut lain, ini bermakna Setiausaha Akhbar tersebut sedang mempromosi dirinya dengan harapan agar diberi peluang bertanding dalam PRU 14 akan datang? (SH 27/02/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...