TERKINI :

Friday, February 10, 2017

Misi Flotilla sudah serahkan bantuan pada Kerajaan Myammar untuk disampaikan kepada mangsa Rohingya

Kita serah pada Myanmar dan bertawakal, kata wakil Food Flotilla For Myanmar

10 Februari 2017 | MALAYSIA DATELINE


Kapal Food Fotilla For Myanmar meninggalkan pelabuhan Klang untuk ke Yangon 3 Feb lalu.

Sekretariat Food Flotilla for Myanmar (FFfM) berharap bantuan makanan dan keperluan lain yang diserahkan kepada Kerajaan Myanmar akan diagihkan kepada masyarakat Islam Rohingya di wilayah Rakhine (Arakan) dan itu adalah pilihan terbaik yang boleh diusahakan setakat ini.

Timbalan Presiden Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya memegang janji kerajaan Myanmar untuk menyampaikan bantuan itu kepada masyarakat Islam Rohingya dengan dipantau wakil kedutaan Malaysia di Rangon.

Tarmizi yang kini berada di Cox Bazar, Bangladesh bersama pasukan peninjau FFfM menjawab kritikan pelbagai pihak yang kesal apabila mendapat berita 500 tan bahan bantuan untuk Rohingya diserahkan kepada kerajaan Myanmar sedangkan pihak tentera negara tersebut didakwa terlibat dalam kempen 'pembersihan  etnik' di wilayah Rakhine.

Myanmar dan tokoh pejuang demokrasi negara tersebut Aung San Suu Kyi juga dikecam dunia antarabangsa kerana gagal melindungi dan membela hak masyarakat Islam Rohingya.

Malah Suu Kyi dilapor memberitahu wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa kerajaan negaranya enggan menggunakan terma 'Rohingya' bagi masyarakat Islam di wilayah Rakhine kerana menyifatkan mereka sebagai pendatang haram 'Bengalis' daripada Bangladesh.

"Inilah pilihan yang kita ada untuk sampaikan bantuan selepas laluan lain tidak dibenarkan.

"Kita memegang janji kerajaan Myanmar bahawa dia benarkan kedutaan Malaysia bersama dalam proses pengagihan kepada Rohingya di Arakan," ujar Tarmizi.

Beliau menambah, pihaknya berpegang kepada kaedah Fiqh, "Jika tidak dapat lakukan semua, jangan tinggalkan semua" dalam misi bantuan Rohingya.

FFfM katanya adalah kempen 'perhatian dunia untuk Rohingya' dan bantuan makanan hanya sebahagian daripada langkah tersebut.

"Flotilla adalah 10 langkah daripada ribuan langkah untuk 'pembebasan Rohingya dari kezaliman'. Langkah itu telah bermula dan belum berakhir.

"Team flotilla sudah gunakan semaksimun langkah dan usaha untuk memastikan bantuan ini sampai kepada muslim Rohingya di Arakan dan langkah terakhir adalah 'tawakkal a'la allah'...," ujarnya.


Semalam, sebanyak 500 tan bekalan makanan dan keperluan bernilai RM5 juta diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk diagih kepada etnik Rohingya di Rakhine.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya akan memastikan bekalan itu diterima oleh komuniti Rohingya di Myanmar.

"Saya yakin dengan sikap keterbukaan Myanmar dan (misi) ini satu kejayaan besar.

"Wilayah Rakhine memang memerlukan bantuan ini, penghantaran bantuan akan diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Myanmar dan ini prosedur operasi standard biasa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan bantuan itu di Terminal Antarabangsa Thilawa, Yangon di sini.

Penyerahan bekalan secara simbolik itu dilakukan ketua misi kemanusiaan FFfM Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye.

Misi yang masuk hari kelapan ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.     

'Food Flotilla for Myanmar' yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Mapim disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...