TERKINI :

Sunday, February 12, 2017

Menerokai 40 kerusi idaman Pas

 Pas sasarkan 4 negeri di samping 4o kerusi parlimen.
Bulan lepas saya ada menulis satu artikel yang bertajuk Pas semakin lemas, tulisan itu mendapat sambutan yang agak hangat apabila tersiar di beberapa portal berita.

Saya menerima banyak kritikan tentang artikel itu, ada yang membina, ramai pula yang menghina. Hari ini saya akan menggunakan gaya penulisan yang bernada lembut agar ia lebih mudah diterima oleh segenap masyarakat, samada mereka adalah penyokong Pas atau tidak.

Apabila membaca berita melalui portal berita Harakah Daily, hasrat utama Pas untuk memenangi 40 kerusi parlimen adalah untuk memberi kesedaran kepada Barisan Nasional supaya tidak sombong.

Pas juga berpandangan bahawa tahaluf siyasi pada Pilihan Raya Umum 13 kerana daripada 89 kerusi yang dimenangi oleh pembangkang, 50 daripadanya dimiliki oleh mereka yang bukan Islam.

Ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Pas melakukan kajian semula terhadap tahaluf siyasi, dan akhirnya Pakatan Rakyat dikuburkan.



Prestasi Pas dalam 4 PRU terakhir

Pada Pilihan Raya Umum 10 (PRU10) tahun 1999, prestasi Pas sangat baik apabila menang hampir empat kali ganda kerusi berbanding PRU sebelumnya apabila memenangi 27 kerusi.

Pada PRU11 (2004), Pas yang membawa manifesto untuk membina sebuah Negara Islam kalah teruk apabila hanya memenangi 7 kerusi parlimen. Tuan Guru Datuk Seri Abdul Haji Hadi Awang gagal mengekalkan kerusi parlimenya. Pada kedua-dua PRU ini Pas bertanding untuk gabungan parti yang dinamai Barisan Alternatif.

Pada PRU12 pula, Pas berjaya menawan 24 kerusi parlimen. Pencapaian ini sangat baik, dan Pas dan DAP ketika itu seolah-olah menerima paradigma baharu, disamping faktor kehadiran Anwar Ibrahim.

Pada PRU13 pula, Pas memenangi 21 kerusi parlimen melalui kerjasama mereka di Pakatan Rakyat.

Melihat daripada prestasi Pas pada 4 PRU kebelakangan ini, kita pasti akan tertanya-tanya adakah angka 40 itu realistik untuk dicapai? atau wajarkah Pas menumpukan perhatian untuk mengekalkan kerusi parlimen yang mereka miliki sekarang?

Tentu sahaja ramai yang akan menjawab bahawa meletakkan sasaran yang tinggi diperlukan, agar semua jentera akan bekerja keras. Sasaran tidak semestinya perlu dicapai, tapi sekurang-kurangnya hampir kepada sasaran itu sudah cukup baik. Ini membawa kepada persoalan saya yang seterusnya.



Manifesto Pas

Saya agak berteka-teki dengan manifesto utama yang ingin dibawa oleh Pas pada PRU akan datang. Pas pernah menawarkan Negara Islam dan Negara Berkebajikan, ternyata ia belum boleh diterima oleh kebanyakkan rakyat Malaysia. Pendekatan Islam Pas berjaya menarik ramai pengundi Melayu khususnya, namun untuk membina satu rejim teokratik, saya fikir masyarakat kita masih tidak menerimanya.

Untuk mencapai angka 40 kerusi di parlimen, pemilihan manifesto yang baik untuk sesebuah parti adalah kritikal. Sejak kebelakangan ini, perjuangan Pas yang paling ketara adalah untuk memperkasakan mahkamah syariah melalui kempen ‘RUU 355’.

Saya bersetuju dengan perjuangan ini walaupun saya berpandangan apa yang diusulkan oleh Presiden Pas tempoh hari agak drastik. Tambahan lagi, saya merasakan isu ini sepatutnya menjadi ‘sub’ kepada perjuangan Pas dalam usahanya untuk memperkasakan Islam di negara ini.

Suka atau tidak suka, Pas perlu lebih menonjol dalam menawarkan idea-dea yang memberi solusi kepada derita rakyat, seperti isu pengangguran, kos sara hidup, bebenan hutang dan bencana alam.



Isu-isu terkait Pas

Sejak kebelakangan ini, kita melihat hampir semua parti politik yang ada di Malaysia dibelenggu pelbagai isu, Pas tidak terkecuali. Sejak berlaku perpecahan di dalam Pas, kita harus mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kekuatan parti ini.

Kewujudan parti AMANAH yang membawa imej Islam ‘progresif’, seolah-oleh memberi pilihan alternatif kepada mereka yang mahukan parti Islam memerintah. Tambahan lagi, tokoh-tokoh yang keluar daripada Pas ini turut membawa keluar penyokong mereka bersama.

Baru semalam saya membaca berita berkenaan UMNO Kelantan ingin menjadikan kegagalan Pas di Kelantan sebagai propaganda utama untuk memenangi negeri itu pada PRU akan datang.

Saya sudah lama menasihatkan melalui tulisan supaya kerajaan negeri Kelantan memaparkan ‘dokumentasi yang jelas’ tentang apa yang telah dicapai oleh kerajaan negeri ini setelah PRU13.

Isu-isu seperti pembalakan terbuka, kemiskinan, kemunduran ekonomi dan kegagalan mengurus bencana alam pasti akan menjadi modal yang kuat untuk parti lawan untuk mengambil kubu kuat Pas itu.

Kedudukan Pas yang buat masa ini memilih untuk ‘bersendirian’ juga akan menjadi faktor angka 40 kerusi itu sukar untuk dicapai. Secara teorinya menyertai mana-mana blok akan membantu untuk meningkatkan kadar undi dan memudahkan pembahagian kerusi.

Bersendirian akan menyebabkan kebarangkalian untuk menghadapi lawan daripada blok yang kuat adalah tinggi, sekali gus mengurangkan potensi untuk menang. Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas yang mengatakan adalah mustahil buat masa ini Pas untuk memerintah Malaysia secara bersendirian.


Kesimpulan

Pas adalah parti yang sudah lama bertapak dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika saya katakan parti ini masih kuat dan menjadi rebutan untuk kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan.

Sekiranya mereka benar-benar berhajat untuk memenangi 40 kerusi di parlimen, mereka harus bekerja keras dan mencatur strategi dengan bijak kerana sasaran itu tidak mudah.



* Penulis adalah Aktivis Mahasiswa, YDP Ikatan Anak Muda Tawau. Beliau boleh dihubungi melalui ada.urusan@gmail.com atau facebook.com/rahmanimuda

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...