TERKINI :

Saturday, February 18, 2017

Mahfuz - Tegur Pas demi survival parti

Mahfuz Omar

POKOK SENA - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, kenyataannya yang disifatkan mengkritik parti bukanlah berniat untuk mengecam, sebaliknya kerana mahu memastikan survival parti itu dalam politik negara.

"Saya bukan kecam Pas, saya menegur kerana sayangkan parti selain mahu selamatkan Kelantan agar tidak jatuh ke tangan BN pada PRU14, akibat keputusan parti yang enggan bekerjasama dengan parti pembangkang lain. Pas harus fikirkan survival parti itu dalam jangka panjang," katanya, semalam.

Menurutnya, beliau bimbang keengganan Pas untuk bersama parti pembangkang lain membentuk pakatan lebih besar (grand coalition) boleh menyebabkan  parti itu kehilangan Kelantan, termasuk menjejaskan kedudukan di Selangor apabila Pas menolak kerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan politik dengan Amanah dan DAP.

"Mungkin Pas lupa, sebelum ini mereka boleh kerjasama dengan Semangat 46 yang terlibat menjatuhkan kerajaan Pas, selain Berjasa yang dilabel parti serpihan Pas pada 1978. Kedua-dua parti itu pernah kianati Pas, kenapa sekarang Pas tidak boleh kerjasama dengan Amanah atau parti lain," katanya.

Mahfuz berkata, Pas harus berfikiran melangkaui sentimen berpuak-puak dan mengenepikan amarah untuk kelangsungan parti itu, dan perlu bersama parti pembangkang lain menjatuhkan kerajaan kleptokrasi BN.

"Kenyataan saya harus dilihat sebagai mewakili suara ahli parti yang tidak lagi gembira dengan cara politik Pas sekarang. Ramai ahli, penyokong dan pengundi Pas tidak senang dengan pendekatan politik Pas, yang dilihat menjarakkan diri dari arus perdana politik tanahair," katanya.

Mahfuz turut menempelak kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyarankan beliau keluar parti kerana sering mengkritik parti.

"Kenyataan Mohd Amar menghalau saya keluar Pas amat mengejutkan dan memperlihatkan sikap 'gedebe' beliau.

"Kenyataan itu bukan mengajak berdamai sebaliknya mencabar ahli keluar parti, yang tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Menurutnya, adakah Pas kini tidak lagi boleh menerima pandangan berbeza daripada ahlinya.

"Ahli yang menegur parti secara terbuka untuk kebaikan diminta keluar parti? Apakah budaya tegur menegur sudah mati dalam Pas? Janganlah bina persepsi bahawa Pas tidak boleh ditegur dan dikritik jika mentadbir negara kelak," katanya.

Mahfuz berkata, pendirian Pas itu tidak disenangi sebahagian besar ahlinya kerana menjejaskan kestabilan parti itu sendiri.

"Pimpinan Pas perlu berhati-hati buat kenyataan, jangan rosakkan lagi Pas yang kini dilanda krisis. Sudah ramai ahli beralih parti, pimpinan harus sedar perkembangan ini," katanya.

Sebaliknya, Mahfuz bertegas akan terus menyuarakan pandangannya biarpun bertentangan dengan pendirian parti.

"Saya tetap akan bawa suara akar umbi kerana masih sayangkan Pas. Sebahagian ahli berani bertindak, sebahagian tidak berani mengkritik dan ambil pendekatan senyap walaupun sebenarnya mereka kecewa," katanya.

Menurutnya, Pas tidak wajar melihat keahlian yang ramai sebagai kekuatan untuk parti itu bersendirian, sebaliknya kejayaan yang dicapai bukan sekadar kekuatan Pas sendiri.

"Pada 1990, ketika itu parti pembangkang mula merapatkan kerjasama berdepan BN dalam pakatan yang lebih padu. Gabungan dalam Pakatan Rakyat telah menyaksikan Pas, PKR dan DAP beroleh kejayaan besar," katanya.

Mahfuz berkata, sewajarnya pendekatan ini diteruskan untuk menggarap semua kekuatan dalam sebuah pakatan besar, untuk kekalkan kemenangan dan membina gabungan yang kuat.

"Pas perlu bersama dengan parti lain, yang miliki latar belakang dan asas perjuangan baharu seperti Amanah dan Bersatu supaya lebih utuh melawan BN pada PRU14," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...