TERKINI :

Thursday, February 16, 2017

Lupakan usul Hadi, selesaikan ekonomi, pesan bekas ketua pengarah EPU

 Mohd-Sheriff-Mohd-Kassim-3
PETALING JAYA: Bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya melupakan usul presiden PAS dan permainan politik agama kerana ia akan menjejaskan kekuatan ekonomi negara.

Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata pelabur akan mentafsir sokongan kepada usul Hadi sebagai mengelak tanggungjawab memulihkan ekonomi, sementara bagi rakyat pula kepimpinan nampaknya lebih suka mempolitikkan agama.

“Jika Yang Amat Berhormat (Najib) menyokong RUU 355, para pelabur dalam dan luar negara akan mentafsir bahawa ianya permainan politik untuk lari dari tanggungjawab yang amat mendesak iaitu memulihkan ekonomi.

“RUU 355 akan memecah-belahkan rakyat dan menyebabkan mereka bimbang akan masa depan negara. Bila rakyat tidak yakin, ekonomi akan hilang kekuatan dan rakyat menjadi mangsa semata-mata kerana kepimpinan yang suka bermain politik dengan agama.”

Sheriff berkata demikian dalam kenyataan yang diterima FMT hari ini.

Selain Sheriff, yang juga bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, komponen Barisan Nasional dan pakatan pembangkang membantah atau sangsi dengan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan atau dikhuatiri membuka ruang kepada pelaksanaan hudud.

RUU persendirian itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Merayu kepada sentimen Melayu dalam Umno, Sheriff memberi amaran kesan negatif daripada RUU 355 akan memberi kesan kepada kaum majoriti.

“Saya merayu YAB tidak menyokong RUU 355 kerana ia akan menyulitkan lagi kelemahan ekonomi dan seterusnya merosotkan sentimen terhadap nilai mata wang ringgit.

“Akibatnya inflasi meningkat dan kehidupan rakyat akan merosot dan yang akan menanggung bencara ini kebanyakkan orang Melayu kita juga,” kata Sheriff.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui RUU yang dicadangkan tahun lepas mendepani usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Usul Hadi antara lain mahu meningkatkan kadar hukuman maksimum bagi kesalahan syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 rotan.

Najib sebelum ini dilaporkan mempertahankan usul itu, mengatakan orang bukan Islam tidak perlu risau kerana undang-undang itu untuk orang Islam sahaja.

Sheriff mengirim surat terbuka hari ini ketika PAS bersiap sedia mengembleng sokongan untuk tunjuk perasaan menyokong usul Hadi di ibu negara pada Sabtu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...