TERKINI :

Wednesday, February 15, 2017

Ku Li belum muktamad putuskan sokong atau tidak pindaan RUU 355 dalam Parlimen

 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang menegaskan, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan menyokong atau tidak berhubung pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang dijangka dibahaskan di Parlimen pada sidang akan datang.

Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hanya berkata, “kita perlu tunggu” ketika menjawab soalan wartawan selepas menghadiri forum “Sejauh Mana Anda Memahami Hudud” anjuran Angkatan Amanah Merdeka di Rumah Kelab Parsatuan Alumni Universiti Malaya, Ahad lalu.

Pada forum itu, Profesor Undang-undang UiTM, Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, pindaan RUU 355 yang di bawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak mengikut perlembagaan kerana bertentangan dengan hak kebebasan beragama serta konsep kesamarataan mengikut undang-undang, lapor FMT.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li sebelum ini berkata, tidak akan menyokong mana-mana RUU jika ia bertentangan dengan perlembagaan.

Mengulas mengenai pandangan Shad Saleem mengenai RUU355, Ku Li berkata, hujah yang dikemukakan pensyarah UiTM itu berdasarkan kepakarannya dalam undang-undang.

Ku Li berkata, melihat kepada perjalanan forum tersebut, membuktikan masih banyak pihak yang tidak jelas dengan RUU 355.

“Kita dengar pandangan orang ramai yang hadir forum ini, mereka masih tidak berpuas hati.

“Berdasarkan pendapat dilontarkan sebentar tadi, menunjukkan sebahagian daripada apa yang sudah dibuat adalah bertentangan dengan perlembagaan.

“Undang-undang sedia ada misalnya di Kelantan juga bertentangan dengan perlembagaan.

“Jadi pindaan RUU355 yang dicadangkan ini bertujuan membolehkan undang-undang yang diluluskan di Kelantan dilaksanakan dengan hukuman lebih kuat, lebih setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.

Pada 2015, Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) supaya ia ditingkatkan dengan perlaksanaan hukuman lebih tinggi seerti hukuman atas kesalahan mencuri dan merompak.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Selain Shad Saleem, panel lain pada forum itu ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainual Abidin dan Pensyarah Sains Politik USM, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...