TERKINI :

Saturday, February 18, 2017

Jenazah ibu MB Selangor selamat dikebumikan

Jenazah Che Tom Yahaya, 82, ibu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru kira-kira 11 pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara pada pukul 2.14 pagi ini akibat serangan angin ahmar.

Azmin berkata ibunya sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut pada 10 Okt tahun lepas apabila mengalami serangan angin ahmar buat kali pertama.

"Pada Sabtu lepas beliau diserang angin ahmar kali kedua, kali ini serangan itu agak serius dan kritikal.

"Beliau ada rekod sakit jantung dan menjalani rawatan berkala di IJN (Institut Jantung Negara) tetapi tidak serius sehingga diserang angin ahmar," katanya kepada pemberita selepas urusan pengebumian ibunya.

Katanya, majlis tahlil akan diadakan di kediamannya malam ini selepas solat Isyak.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menziarah dan menunaikan solat jenazah.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...