TERKINI :

Thursday, February 9, 2017

Himpunan RUU 355: DBKL benarkan PAS guna Padang Merbok

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada PAS mengadakan perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok, pada 18 Februari ini.

Persetujuan itu diumumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini.

“Permohonan ini dipersetujui memandangkan Taman Tasik Titiwangsa terlibat dengan kerja naik taraf untuk (projek) ‘River of Life’ yang tidak membenarkan sebarang aktiviti besar diadakan.

“DBKL tiada masalah dengan permohonan pihak penganjur untuk menggunakan Padang Merbok sebagai tempat perhimpunan, (asalkan) mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Keputusan ini berbeza dengan pendirian DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada bulan lalu yang bertegas tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, sebaliknya mencadangkan PAS berhimpun di Stadium Titiwangsa.

PAS bagaimanapun menggesa DBKL mempertimbangkan permohonan mereka menggunakan Dataran Merdeka, dengan menyasarkan kira-kira 300,000 orang hadir menyokong usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ekoran perkembangan terbaru ini, penganjur himpunan balas ‘Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi’ yang pada mulanya memilih Padang Merbok sebagai lokasi perhimpunan akan berpindah ke Padang Timur di Dataran Petaling Jaya, berhampiran pusat beli-belah Amcorp Mall, pada hari sama.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bebas itu terkejut dengan keputusan DBKL memberi kelulusan kepada PAS untuk menggunakan lokasi asal mereka berhimpun.

“Ia menunjukkan keinginan PAS untuk mencetuskan kekecohan dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang ingin menyuarakan bantahan mereka terhadap RUU 355 secara aman.

“Memandangkan Bebas tidak berminat berkonfrontasi dengan PAS, kami memutuskan berpindah ke lokasi lain. Kami sudah maklumkan kepada polis, seperti diperuntukkan undang-undang,” kata ahli NGO itu, Azrul Mohd Khalib dalam kenyataan hari ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...