TERKINI :

Friday, February 10, 2017

Hanya tulis nama untuk ambil bantuan di masjid

Hanya tulis nama untuk ambil bantuan

SUNGAI DUA - Masjid bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah, tetapi juga dalam membantu masyarakat sekitar.

Lantaran itu, Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal mengadakan program kongsi rezeki, yang memfokuskan golongan kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Khairul Fitri Kiraman berkata, menariknya melalui konsep ditampilkan kali ini, mereka yang memerlukan hanya perlu datang ke masjid untuk mengambil barangan diperlukan.

"Terdapat ruang disediakan di pekarangan masjid. Kita letak barangan seperti beras, gula dan lain-lain di rak, jadi mereka hanya perlu hadir ke masjid dan tulis nama dalam buku sebelum ambil barangan tersebut.

"Ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Kita hanya mahu membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Khairul Fitri, program itu merupakan aktiviti tahunan masjid berkenaan.

"Jika dulu kita pergi ke setiap rumah untuk menyampaikan sumbangan, tapi kali ini kita tukar konsep. Sesiapa yang rasa kurang berkemampuan, boleh datang ambil di masjid. Secara langsung dapat merapatkan hubungan masyarakat dan masjid," katanya.

Tambahnya, sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menyumbang sentiasa dialu-alukan.

"Kita sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menjayakan program ini.

"Melalui program ini bukan sahaja dapat berkongsi rezeki, tetapi juga berkongsi pahala dalam membantu mereka yang memerlukan," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...