TERKINI :

Friday, February 17, 2017

APA JASA 272 KAKITANGAN JASA, SELAIN HANYA MEMBAZIRKAN DANA?

Saranan saya supaya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dimansuhkan untuk menjimatkan RM22 juta setahun yang kini digunakan untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mendapat reaksi Lokman Noor Adam, yang sebelum ini berjawatan Panel Pemikir JASA. Menurut beliau, jika KEADILAN dan Pakatan Harapan memenangi tampuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JASA akan mempertahankan KEADILAN dan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu kerana JASA bertanggungjawab mempertahankan kerajaan.

Pertamanya, jika pun Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan memerlukan satu kumpulan untuk menjawab isu-isu yang mengkritiknya, kumpulan itu bukanlah dari kalangan pegawai-pegawai tinggi (termasuk bekas pegawai tinggi) seperti Lokman Noor Adam dan Tun Faisal Ismail Aziz kerana rekod buruk mereka mempertahankan dasar-dasar Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mereka akan terus diingati sebagai individu-individu yang bermati-matian mempertahankan bahawa GST itu baik untuk rakyat, juga bermati-matian mempertahankan 1MDB walaupun seluruh dunia tahu wang rakyat telah lesap.

Malah, berani saya katakan bahawa akibat Umno menyerahkan tugas propaganda kepada mereka inilah juga, kedudukan sokongan Umno di kalangan orang Melayu pun sudah jatuh menjunam sehingga hanya 40% pengundi Melayu yang akan mengundi Umno dalam PRU14 mengikut Kajiselidik PRU14 yang disertai 104,000 pengundi baru-baru ini.

Keduanya, saya yakin Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak memerlukan sebarang jabatan propaganda berdasarkan prinsip-prinsip berikut:

1. Tugas menjawab kritikan dan serangan ke atas sebarang dasar Kerajaan Persekutuan adalah tugas menteri yang bertanggungjawab. Beliau perlu mempertahankan dasar yang diperkenalkan partinya semasa memerintah dan jika beliau tidak mampu, maka beliau sewajarnya dipecat oleh Perdana Menteri atau tidak diundi rakyat dalam pilihanraya

2. Sebarang sebaran maklumat yang bukan menghebahkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak boleh dibuat oleh jabatan kerajaan yang ditanggung rakyat, apatah lagi propaganda yang mempertahankan pemimpin dan parti politik yang dituduh terlibat di dalam penyelewengan wang rakyat.

Maka, saya yakin Pakatan Harapan akan memansuhkan JASA dan kakitangannya berkemungkinan akan diagihkan seperti berikut:

i. Kakitangan tetap yang telah menjadi sebahagian dari perkhidmatan awam akan dipindahkan ke jabatan atau kementerian yang memberikan khidmat terus kepad rakyat seperti pendidikan, kebajikan dan kesihatan

ii. Semua lantikan politik di peringkat tertinggi JASA akan ditamatkan perkhidmatan

iii. Semua lantikan kontrak yang melibatkan ahli Umno yang didapati dilantik khusus bagi tujuan propaganda akan ditamatkan perkhidmatan

Saya menyemak senarai jawatan JASA di seluruh negara yang mempunyai 272 kakitangan (rujuk Buku Senarai Perjawatan yang dilampirkan). Pecahan 272 kakitangan itu adalah seperti berikut:

Pejabat Ketua Pengarah – 6 orang

Bahagian Gerak Saraf dan Perancangan Dasar – 3 orang

Bahagian Pembangunan Insan – 4 orang

Bahagian Khidmat Pengurusan – 36 orang

Jawatan Sementara Lantikan Kontrak – 127 orang

Pembantu tadbir, penolong akauntan, juruaudio, pemandu – 96 orang

Ini bermakna, 47% dari keseluruhan kakitangan JASA di seluruh negara adalah Jawatan Sementara Lantikan Kontrak (dengan kod JSKT). Jika dicampur dengan pegawai-pegawai tinggi yang juga adalah lantikan politik, maka saya anggarkan 50% dari kakitangan JASA adalah lantikan kontrak yang selalunya adalah lantikan politik untuk ahli-ahli atau pemimpin Umno mendapat imbuhan.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Ketua Pengarah JASA menyiarkan nama setiap penjawat Jawatan Sementara Lantikan Kontrak (JSKT) di ibu pejabat JASA dan pejabat JASA negeri-negeri agar orang ramai dapat mengesahkan sama ada benar JASA digunakan untuk menempatkan aktivis Umno menjalankan kerja propaganda dengan dibayar oleh rakyat.

Jika Ketua Pengarah JASA enggan berbuat demikian, ia akan terus mengukuhkan dakwaan bahawa aktivis Umno dilantik ke jawatan kerajaan melalui kaedah JSKT untuk menjalankan kerja propaganda mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

 
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...