TERKINI :

Thursday, February 2, 2017

AMANAH : DONALD TRUMP..PERANGI MILITAN ATAU ISLAM?

*KENYATAAN MEDIA*

*DONALD TRUMP; PERANGI MILITAN ATAU ISLAM?*

www.amanah.org.my

1. Kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang berjalan sepanjang tahun 2016 amat kotor dengan wujudnya pelbagai usaha pembunuhan karakter yang didedahkan kepada orang ramai. Dalam temu bual terhadap Hillary Clinton, beliau mengaku bahawa ISIS dan kumpulan militan bersenjata sebenarnya dibiayai oleh Amerika dan mereka jugalah yang melahirkan kumpulan Al-Qaeda dan seumpamanya yang berjuang mendapatkan kuasa bukan melalui proses demokrasi.

2. Donald Trump dalam kempennya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang dibuat oleh kerajaan Amerika terdahulu. Beliau berjanji akan memerangi kumpulan militan dan ISIS serta seumpamanya. Akhirnya dalam pertarungan yang hebat, Donald Trump mencapai kemenangan walaupun dipertikai dan telahpun mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang sah. Setelah mengangkat sumpah, dalam masa dua minggu beliau telah menunjukkan sifatnya yang sebenar. Beliau bukan ingin memerangi kumpulan militan dan kumpulan yang tidak menghormati demokrasi tetapi lebih bersifat memerangi Islam. Dalam kempen sebelum ini Donald Trump berkata bahawa beliau tidak akan membenarkan orang Islam masuk ke Amerika Syarikat. Kita menganggap itu hanyalah kempen biasa untuk menarik golongan kanan Amerika untuk menyokong beliau. Namun selepas mendapat kuasa, beliau benar-benar melaksanakannya tetapi pilihan negara-negara yang mula disekat amat mengejutkan kita.

3. Negara seperti Iraq, Libya, Syria, Yaman, Iran, Somalia serta Sudan dinamakan secara borong dan diisytiharkan tidak boleh memasuki Amerika. Donald Trump sepatutnya mengotakan janjinya untuk memerangi golongan militan dan ISIS, tetapi apa yang kita lihat beliau hanya menyepi terhadap negara yang melahirkan ramai ISIS ini. Sekarang kita bertambah yakin bahawa Donald Trump hanya mengulangi sikap kerajaan terdahulu.

4. Oleh itu, umat Islam dan kemanusiaan sejagat bersama negara-negara besar seperti Kanada, England dan Jerman mesti mengkritik dan membantah polisi Donald Trump ini. Negara-negara OIC yang bermaruah perlu bersidang segera untuk mengutuk tindakan yang diambil oleh Donald Trump dan kerajaan Amerika ini di samping perlu berani menyatakan kebenaran hak kebebasan beragama untuk masuk ke mana-mana negara, bukan di atas kebencian suatu agama, kaum atau puak.


*AMANAH DEMI NEGARA*

*MOHAMAD BIN SABU*
Presiden
Parti Amanah Negara

31 Januari 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...