SEKOLAH AGAMA BUKAN PUNCA PERGESERAN KAUM. AMANAH BIDAS GERAKAN
www.amanah.org.my
1. Parti Amanah Negara *(Amanah)* sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Gerakan, Dato Dr Dominic Lau Hoe Chai untuk menilai semula kewujudan Sekolah Agama kerana disifatkan olehnya sebagai ancaman sebenar kepada perpaduan negara.
2. Amanah melihat Kenyataan seperti itulah yang sebenarnya boleh menyebabkan dasar perpaduan negara terancam sekaligus membawa kepada jurang integrasi antara kaum tambah melebar.
3. Sekolah Agama di negara ini tidak pernah menyekat mana-mana kaum untuk turut serta mengikuti sistem pendidikan yang ditawarkan sekiranya mereka sanggup mengikutinya.
4. Masalah perpaduan kaum yang berlaku di negara ini bukanlah disebabkan nilai sistem persekolahan yang sedia ada, tetapi ia bertitik-tolak atas dasar tidak adanya kesungguhan politik yang tuntas di kalangan pihak tertentu. Selain daripada Umno, parti komponen BN sendiri sering memainkan isu-isu sebegini untuk survival politik masing-masing. Kenyataan dari GERAKAN ini sendiri sebagai satu contoh kerana ia sebenarnya bertujuan mencari _political milleage_ bagi memenangi undi kaum Cina yang sudah beralih kepada pihak lain.
5. Amanah menegaskan bahawa kenyataan seperti itu tidak wajar diungkapkan oleh seseorang pemimpin yang kesannya besar dalam membawa mesej mengelirukan dan kurang tepat.
6. Amanah menyeru Gerakan agar mencontohi Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Ketua Menterinya, YAB. Sdr Lim Guang Eng, yang bukan sahaja mempunyai pandangan lebih baik terhadap pendidikan agama, malahan menggalakkan umat Islam Pulau Pinang mempelajari Al Qur'an dengan sebaiknya.
USTAZ DR HASAN BAHROM
Naib Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
14 Januari 2017
No comments:
Post a Comment