TERKINI :

Monday, January 16, 2017

Rupa-rupanya mahkamah sudah arahkan Imam Zaaba membayar kos guaman selepas petisyen ditolak sewaktu tahun 2014 lagi tapi PAS tidak membayarnya.

Selepas ikut arahan parti, bekas ahli PAS sedih dipinggir

Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli PAS yang tewas dalam petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13 terharu dengan sokongan masyarakat pelbagai latar belakang yang membantunya mengumpul wang bagi menampung kos mahkamah.

Bagaimanapun, Za’aba Ibrahim terkilan dengan sikap bekas partinya PAS yang langsung tidak menyatakan sokongan walaupun petisyen itu dibuatnya atas arahan parti.

“Sebagai ahli, saya taat dengan arahan itu. Malah pemimpin sendiri berkata parti akan membayar setiap petisyen yang kalah,” kata Za’aba yang kini ahli Amanah.

Pada 24 Januari 2014, mahkamah rayuan mengarahkan Za’aba membayar kos guaman sejumlah RM50,000 selepas petisyen mencabar keputusan PRU ke-13 bagi kerusi Parlimen Pulai, yang dimenangi Datuk Nur Jazlan Ahmad dari Barisan Nasional, ditolak.

Tarikh akhir bagi pembayaran itu adalah 17 Januari 2017.

Nur Jazlan memenangi kerusi itu mengalahkan calon PAS, Salahuddin Ayub yang kini timbalan presiden Amanah, dengan perbezaan 3,226 undi.

“Saya terima panggilan daripada orang yang tidak dikenali, menyatakan sokongan dan ingin menyumbang wang,” kata Za’aba mengenai sokongan yang diterimanya.

“Ada seorang Punjabi yang menelefon lewat malam, kata ingin pindahkan wang esok pagi sebab bank sudah tutup,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Za’aba, yang bekerja sebagai jurukimpal, berkata antara yang banyak membantu adalah wakil rakyat pembangkang terutama Amanah dan DAP negeri, selain gabungan Bersih 2.0 yang menurutnya antara yang memberikan sumbangan terbesar.

“Malah orang Umno dan kariah surau di sini juga ada yang menghulurkan wang, setakat termampu. Saya hargai semuanya.

“Saya doakan Allah memberikan rahmat dan kesihatan yang baik kepada mereka semua,” kata Za’aba yang juga imam sebuah surau di Perling, Johor Bahru.

Pada 10 Januari lalu, Za’aba terselamat daripada diisytiharkan muflis selepas kempen mengumpul dana oleh Amanah berjaya mengumpul RM54,431.76.

“Terima kasih kepada masyarakat yang membantu. Semoga semangat tersebut menjadi petanda kita sudah bersedia membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

‘Tiada seorang pun dari PAS menyumbang’

Za’aba berkata beliau terkejut apabila diarahkan ke mahkamah November lalu untuk kes tersebut, kerana selama ini menyangka PAS sudah membayarnya.

“Ketika mendapat surat arahan membayar dari mahkamah pada 2014, saya terus menghantarnya kepada PAS kawasan untuk disampaikan kepada peringkat negeri. Kepimpinan negeri kata akan menyampaikannya ke peringkat Pusat.

“Selepas itu senyap tanpa khabar berita. Saya fikir mereka sudah menguruskannya. Sehinggalah November tahun lalu apabila saya diarahkan ke mahkamah,” katanya kecewa.

Disember lalu, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata PAS tidak akan membayar jumlah itu kerana Za’aba bukan lagi ahli parti.

Bagi Za’aba pula, ia tidak harus dijadikan alasan kerana petisyen dibuat atas arahan parti dan perintah bayaran dikeluarkan ketika beliau masih menjadi ahli.

“Tiada seorang pun pemimpin PAS menyumbang. Mereka hanya sumbang maki hamun. Dengan ahli PAS lagi teruk saya kena,” katanya yang menyertai PAS sejak 1994 dan keluar pada 2015, bersama-sama ramai pemimpin dan ahli lain, menubuhkan Amanah.

Sepanjang keahliannya dalam PAS, Za’aba aktif menganjurkan program PAS di Johor selaku ahli jawatankuasa peringkat kawasan.

Menurutnya, beliau menjadi “wajah pertama” yang akan berhadapan dengan pihak berkuasa jika program parti berhadapan masalah permit.

“Saya keluar kerana akhlak kumpulan mereka tidak lagi menonjolkan akhlak Islam, terutama dengan kutuk-mengutuk terhadap kumpulan profesional menjelang muktamar pemilihan 2015.

“Tetapi saya tidak alergik dengan PAS, malah masih menyimpan kad keahlian sehingga sekarang,” katanya lagi.

Pada Muktamar 2015, pimpinan PAS berubah arah menyaksikan kesemuanya jawatan tertinggi parti itu diisi puak pro-Hadi, yang menyokong dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...