TERKINI :

Monday, January 9, 2017

PRU14: Berjasa Umum Tanding 50 Kerusi Di Kawasan Majoriti Melayu Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Parti Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) mengumumkan akan bertanding 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Presidennya, Brigader Jeneral (B) Datuk Hashim Karim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan suara majoriti Islam berada di Parlimen dan ia adalah tanggungjawab parti itu untuk rakyat.

Bagaimanapun katanya, Berjasa hanya akan bertanding di kawasan majoriti Melayu Islam tetapi ketika ini dipegang oleh ahli Parlimen bukan Islam.

“Makna kata, Berjasa tidak akan bertanding di kawasan yang ada calon Melayu.

“Jika Barisan Nasional, PAS, hantar calon Melayu, kita tidak akan bertanding di kawasan itu, sebaliknya kalau DAP, MCA, MIC hantar calon di kawasan majoriti Islam, kita akan hantar calon di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Putra hari ini.

Ditanya mengenai Parlimen dan DUN yang akan dipilih kelak Hashim berkata, setakat ini pihaknya telah membuat senarai pendek kawasan yang menjadi fokus utama.

“Jika dalam PRU13 hanya 9 kawasan dipilih, sekarang kita jauh ke depan, kita bertanding 50 kawasan.

“Antaranya di negeri Selangor, Johor, Perak dan beberapanegeri ini, yang pasti kita tidak akan bertanding di Kelantan dan Terengganu,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas samada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) turut bertanding dalam PRU14 Hashim berkata, semua itu dalam perbincangan.

“Ketika PRU13 pun, mereka bertanding sebagai ahli Berjasa, jadi untuk akan datang, berapa kerusi yang dipertandingkan, kita akan adakan perbincangan,” katanya.

Mengulas lanjut Hashim berkata, keputusan Berjasa untuk bertanding di kawasan majoriti Islam ini bukan untuk bersikap rasis.

“Apa yang dilakukan demi kepentingan bangsa. Suka tidak suka setiap bangsa pasti akan mempertahankan bangsa masing-masing.

“Kita mahu pertahankan kuasa politik orang Melayu. Apa lagi yang tinggal selain kuasa politikk? Kalau yang tu hancur, kita akan hilang terus kuasa,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...